
KUCHING: Pendidikan inklusif merupakan asas penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling menghormati, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau menegaskan usaha memperkasakan kanak-kanak perlu dilakukan sejak awal, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan mereka.
“Kita mesti memperkasakan kanak-kanak, sama ada istimewa mahupun biasa, dari awal lagi. Ini bukan sekadar soal pendidikan, tetapi soal membina masyarakat yang inklusif, menghormati perbezaan dan menyantuni sesama insan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai kepelbagaian keupayaan rakan sebaya mereka.
“Anak-anak perlu tahu bahawa terdapat rakan sebaya mereka yang berbeza dari segi keupayaan. Mereka perlu belajar untuk saling memahami dan bekerjasama dalam suasana yang inklusif,” katanya pada sidang media Pelancaran Hari Bahasa Isyarat dan Tangan 2025 (SSD) di Persatuan Orang Pekak Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Pengerusi Penganjur SSD, Dr Jason Lim Wei, penganjuran program kesedaran bahasa isyarat dilihat sebagai satu langkah progresif ke arah membina masyarakat yang lebih inklusif, berempati serta menghormati kepelbagaian.
Menurut beliau, usaha ini mendapat sokongan kukuh daripada kerajaan Sarawak, sekali gus meletakkan Persatuan Pembangunan Bahasa Isyarat Sarawak di landasan tepat untuk memperkasakan penggunaan bahasa isyarat serta memperluaskan kesedaran mengenai komunikasi inklusif dalam kalangan masyarakat umum.
“Menerusi sokongan kerajaan Sarawak, SSD kini berada di landasan kukuh untuk mempromosikan bahasa isyarat serta memperluaskan kesedaran tentang komunikasi inklusif dalam kalangan masyarakat umum,” ujar beliau.
Pengurus Besar SeDidik, Ayub Dahari menekankan kepentingan menerapkan kesedaran mengenai komuniti kurang upaya sejak usia awal.
“Kanak-kanak perlu didedahkan bahawa wujud rakan sebaya yang mempunyai keupayaan berbeza. Mereka perlu belajar untuk saling memahami dan bekerjasama,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SeDidik dan Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak, yang disaksikan sendiri oleh Dato Sri Fatimah Abdullah.
Kerjasama strategik ini merupakan langkah penting dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa isyarat seawal peringkat kanak-kanak.
Hari Bahasa Isyarat dan Tangan 2025 (SSD) akan diadakan pada pada 26 Oktober ini dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di sini.
Oleh Norman B