
KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan menyeluruh yang disertai pengukuhan adab dan nilai kemanusiaan adalah asas penting dalam membentuk generasi pelapis negara.
Beliau berkata, dalam dunia semakin mencabar dan dipacu kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), golongan muda tidak hanya perlu cemerlang dari segi akademik tetapi juga harus memiliki akhlak yang baik serta kepekaan terhadap masyarakat.
“Apa erti AI kalau terhakis kemanusiaan… yang kita nak angkat martabat kemanusiaan, sebab itu saya kata akhlak budaya dan hubungan yang baik antara saudara itu penting… hilangkan rasa benci dan cemuh antara sesama sendiri.
“Tetapi ingat, bukan semua di luar sana berfikir sedemikian… masih ada suara yang meragut keyakinan, menentang kebenaran dan benci pada kaum lain… saya mahu anak-anak bangkit lawan mereka,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Himpunan Anak Pahang MADANI di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
– Bernama