Pendidikan di kawasan Baram mempunyai cabaran tersendiri – Dato Dennis Ngau

Facebook
WhatsApp
TANDA PENGHARGAAN…Dato Dennis menerima cenderamata disampaikan daripada Timbalan Pegawai Pendidikan daerah, Sektor Pembangunan murid Pejabat Pendidikan daerah Baram, Paris Lawai. Foto : Jiku Juguong

MARUDI: Pendidikan merupakan asas kepada pembinaan sebuah negara yang maju, makmur dan berdaya tahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi turut bergantung pada kualiti modal insan yang berjaya dibentuk menerusi sistem pendidikan.

Menurutnya, atas sebab itulah Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited memastikan sistem pendidikan negara sentiasa relevan dengan perubahan zaman.

DATO Dennis Ngau melawat ke ruang pameran di Majlis Karnival Pendidikan MADANI. Foto : Jiku Juguong

“Hasrat Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 jelas, iaitu memastikan setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, inklusif dan relevan agar tiada potensi yang tercicir serta setiap bakat dapat digilap demi kemajuan negara,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh sistem pendidikan bukan sahaja memberi penekanan kepada pencapaian akademik, malah turut menitikberatkan pembentukan sahsiah, penghayatan nilai, kesejahteraan emosi, kemahiran insaniah, penguasaan teknologi serta keupayaan berfikir secara kreatif dan kritis.

“Inilah semangat sebenar Malaysia MADANI, iaitu membangunkan insan secara menyeluruh agar mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan MADANI ‘Sehari Bersama Rakyat’ Peringkat Pendidikan Daerah Baram 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Marudi, hari ini.

 KENANGAN…Warga Pendidik dan murid skolah yang terlibat mengadakan sesi bersama Dato Dennis Ngau. Foto : Jiku Juguong.

Sebagai wakil rakyat, beliau berkata, beliau amat memahami bahawa pendidikan di kawasan Baram mempunyai cabaran tersendiri.

“Faktor geografi, jarak yang jauh, kepelbagaian komuniti serta akses kepada kemudahan pendidikan memerlukan komitmen yang lebih besar daripada semua pihak,” tambahnya.

Namun, beliau percaya cabaran bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih gigih bagi memastikan setiap anak, walau di mana mereka berada, menerima peluang pendidikan yang sama berkualiti seperti anak-anak di kawasan bandar.

Dalam pada itu, Dennis menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh prasarana pendidikan, memperluas akses teknologi digital, meningkatkan kualiti guru serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif demi memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan negara.

Tambahnya, guru merupakan tunjang utama kejayaan transformasi pendidikan dan beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas segala pengorbanan, dedikasi serta kesungguhan dalam mendidik anak-anak bangsa.

Oleh Jiku Juguong