SETIAP tahun penduduk Sarawak menyambut 22 Julai, 31 Ogos dan 16 September dengan semangat patriotisme dan kenegaraan yang memanifestasikan kewujudan dan keberadaan Sarawak sebagai sebuah wilayah berdaulat dan merdeka dalam sebuah persekutuan.
Mulai 2016, tarikh 22 Julai disambut dan diisytihar sebagai hari cuti awam sebagai memperingati tarikh Sarawak diberi mandat pada 22 Julai 1963 oleh Kerajaan British untuk mentadbir sendiri wilayah yang pernah sebelumnya berada di bawah jajahan Kesultanan Brunei dan Kerajaan Rajah Brooke (1841-1941).
Sebagai mengingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari Kerajaan British, Sarawak sebagai satu dari empat wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, bersama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Wilayah Borneo Utara (Sabah) turut menyambut tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, sementara tarikh 16 September disambut sebagai Hari Malaysia bagi memperingati penubuhan persekutuan itu.
Sepanjang tiga bulan ini, Julai, Ogos dan September, penduduk Sarawak digalak menzahirkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara melalui pengimbaran bendera Sarawak dan Jalur Gemilang, dan nyanyian lagu-lagu patriotik.
Secara jujur penyataan secara terbuka perasaan cinta, kesetiaan dan pengabdian kepada negara adalah penting kerana ia menggalakkan kesediaan, kebersediaan dan rasa kebertanggungjawaban bersama untuk berkorban serta melakukan kewajipan atau tanggungjawab sivik demi kebaikan bersama.
Semangat patriotisme ini juga mampu meningkatkan penghargaan dan rasa bangga terhadap sejarah, warisan dan tradisi bangsa, di samping mengangkat pengiktiraf terhadap usaha dan perjuangan generasi terdahulu. Semangat cintakan negara ini juga boleh berperanan menjadi tunjang kepada perjuangan memperkukuh perpaduan, persefahaman, keterangkuman dan memupuk akauntabiliti sosiopolitik demi kelangsungan bangsa yang berdigniti terutama sekali dalam konteks masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa, suku kaum, agama, bahasa dan adat budaya.
Semangat patriotisme seperti dizahirkan melalui pelbagai cara dalam pelbagai bentuk serta diterapkan secara sedar dalam hati sanubari setiap warga yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak sempena mengingati tiga peristiwa bersejarah ini, adalah penting untuk menyemarakkan semula semangat kenegaraan dan rasa cinta dan sayangkan negara.
Ketetapan yang telah dibuat dan keputusan kerajaan Sarawak untuk menempatkan acara Sarawak Merdeka, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai agenda besar dalam kalendar pentadbiran, perayaan, kebudayaan, pelancongan dan sosiopolitik Sarawak dengan sendirinya membuka ruang untuk memupuk rasa kebanggaan.
Ia juga memupuk rasa keterharuan rakyat majmuk ini dalam mengingati dan menghargai usaha yang dilakukan oleh wira-wira Sarawak dalam menjaga dan mempertahan kedaulatannya daripada serangan anasir jahat yang ingin meruntuhkan warisan, sejarah dan khazanah tradisi serta kebudayaan setempat yang gemilang.
Semangat patriotisme yang bertunjangkan semangat perpaduan, kesatuan, kebersamaan dan keterangkuman dalam kalangan setiap lapisan masyarakat adalah asas penting bagi memupuk perasaan bangga dengan pencapaian yang telah, sedang dan bakal dinikmati.
Pemahaman mendalam tentang sejarah perjuangan dan pengorbanan masyarakat yang telah melalui zaman sukar seperti zaman Perang Dunia Kedua (zaman Pemerintahan Jepun), zaman konfrontasi, dan ancaman komunis, sebelum menikmati pembangunan berperancangan, tentunya akan dapat memotivasi dan menginspirasikan anak-anak Sarawak untuk merangka hala tuju, gagasan dan wawasan baharu, dan mengimpikan sesuatu bentuk kehidupan dan kewujudan yang jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilalui oleh generasi dahulu.
Merujuk kepada pengalaman Sarawak, semangat patriotisme telah mempengaruhi masyarakat majmuk dalam pelbagai cara. Antaranya ia telah mendorong dan menggalakkan perpaduan dan pewujudan matlamat yang disepakati bersama dalam kalangan penduduknya, dan ia turut memupuk identiti sosial dan kebudayaan yang tersendiri, dan juga rasa kesetiaan tidak berbelah bagi berdasarkan jati diri kewarganegaraan dan kebangsaan yang telah menjadikan slogan seperti “Jaga dan Peliharalah Sarawak”, “Sarawakku Sayang”, “Sayangilah Sarawak”, dan “Sarawak Maju Makmur”, sangat bermakna dan sangat menginspirasikan.
Dalam pada itu, perlu juga diakui bahawa semangat patriotisme yang berlebihan, terlalu eksklusif dan yang tidak berpandukan kebijaksanaan boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Ia boleh membawa kepada sikap tidak bertoleransi, kurang akomodatif, dan mungkin juga ke tahap ekstrim yang boleh menimbulkan diskriminasi terhadap kumpulan lain.
Sekiranya tidak terkawal, ia boleh digunakan sebagai alasan untuk bersifat agresif atau bertindak ganas atas nama dan kepentingan negara. Malah sekiranya berlebihan, semangat patriotisme itu boleh membutakan rakyat terhadap kekurangan, kelemahan atau kegagalan negara, dan meletakan mereka dalam denial mode.
Ditempatkan dalam konteks kefahaman sebegini, di mana semangat patriotisme itu boleh mendatangkan kesan positif dan juga di sebaliknya, penulis berpandangan ia wajar dijadikan satu agenda penting dalam proses pendidikan anak-anak muda.
Dalam memasuki dekad ketiga abad ke-21, yang dicirikan oleh ledakan ilmu pengetahuan dan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasai yang turut membawa kepada pertumbuhan pantas era globalisasi dan digital serta kesaling-bergantungan dalam semua bidang kehidupan dalam kalangan negara bangsa dan hubungan rentas negara, ilmu pengetahuan dan pemahaman berkaitan patriotisme dan kenegaraan hendaklah disampaikan secara bertanggungjawab melalui pendidikan formal dan bukan formal.
Globalisasi yang melibatkan pelbagai aspek kehidupan manusia merangkumi politik, ekonomi, sosial, budaya, dan sains dan teknologi telah membawa perubahan besar kepada makna kewujudan atau kehadiran individu dalam masyarakat dan negaranya. Secara tidak langsung, era digital telah mempercepatkan lagi proses penduniaan seseorang individu daripada hanya berperanan sebagai seorang warganegara sesebuah negara kepada seorang warga dunia.
Perubahan ini dengan sendirinya mampu mencabar kebermaknaan semangat patriotisme dalam konteks konvensional, iaitu patriotisme sebagai rasa cinta dan sayangkan negara kepada rasa kebertanggungjawaban bersama terhadap kesejahteraan dan kelestarian dunia sejagat.
Apa yang perlu difahami ialah keperluan melihat proses pendidikan itu berfungsi sebagai jentera sosialisasi untuk menyediakan individu berdepan dengan keadaan serta tuntutan semasa yang memerlukan dia memiliki semangat patriotisme di satu pihak dan jiwa atau aspirasai sejagat di satu pihak yang lain.
Dalam kata lain pendidikan harus berkeupayaan mendidik generasi muda untuk melihat diri mereka sebagai warga sesebuah negara yang memerlukan semangat patriotisme yang tulin terhadap negaranya di samping menerima kesetiaan dan kesediaan untuk berperanan sebagai warga dunia sejagat.
Dalam hal ini, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah adalah penting dan relevan kerana ia membantu individu memahami bagaimana peristiwa pada masa lalu telah mencorakkan keadaan masa kini.
Ia juga memberi kita data dan maklumat untuk menganalisis, menerang dan memahami masalah pada masa lalu bagi membolehkan kita secara bijaksana bertindak untuk memenuhi keperluan masa kini dan merancang untuk masa hadapan.
Sejarah juga dapat membantu pembangunan pemahaman tentang dunia, identiti, dan aspirasi kemanusiaan sejagat, dan melaluinya menjana semangat patriotisme dan membina jiwa kewarganegaraan dunia yang lebih terbuka.
Jelasnya, pendidikan sejarah adalah sesuatu yang lebih daripada sekadar menterjemah ilmu tentang masa lampau kepada kefahaman mengenai keperluan masa kini dan cabaran masa hadapan. Ia memberi satu dimesi baharu tentang makna hidup bermasyarakat, bernegara dan berjiran dalam perkampungan dunia yang global sifatnya.
Ia memberi kefahaman dan kesedaran tentang rasa kekitaan dan semangat sepunya yang setempat dan juga universal. Sekiranya pendidikan sejarah merupakan jambatan kemanusiaan yang menghubungkan realiti pembangunan dan perkembangan manusia masa lalu dengan kekinian masa sekarang dan kemungkinan-kemungkinan masa hadapan, maka pendidikan bahasa dan kesusasteraan dalam sistem pendidikan formal pula adalah anyaman nilai dan tali-temali adab budi yang perlu untuk menjadi pengikat teguh kepada tunjang dan ruh semangat patriotisme yang sangat-sangat diperlukan oleh sesebuah negara yang merdeka.
Penulis berpandangan, sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang kita sambut pada Julai, Ogos dan September ini hanya akan menjadi lebih bermakna dan berkeupayaan meninggalkan kesan mendalam daripada aspek pembinaan jati diri dan pemupukan semangat patriotisme dan kenegaraan sekiranya pendidikan formal dan pendidikan sepanjang hayat memberi tempat yang signifikan kepada pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah, Bahasa Kebangsaan dan Kesusasteraan.
- Penulis adalah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022.