SARIKEI: Generasi muda perlu dibekalkan dengan pendidikan berkualiti tanpa mengabaikan nilai menghormati warga emas sebagai asas pembentukan masyarakat yang harmoni.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak-anak, manakala penghargaan terhadap warga emas pula penting bagi memastikan nilai kekeluargaan terus dipertahankan.
“Pendidikan amat penting dalam membentuk masa depan anak-anak kita. Kita perlu terus menggalakkan mereka supaya rajin belajar, berusaha dan mengejar cita-cita.
“Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei dalam menghargai warga emas, di samping memberikan pengiktirafan kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, penganjuran majlis itu bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan sesama ahli persatuan, malah menjadi platform untuk menerapkan nilai menghormati golongan lebih tua dalam kalangan generasi muda.
“Keluarga yang harmoni dan saling menghormati merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang baik, manakala pendidikan memberi peluang kepada generasi muda mengembangkan potensi dan membina masa depan yang lebih cerah.
“Tahniah kepada semua penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan saya berharap pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk mereka terus berusaha dalam pelajaran serta menjadi contoh kepada generasi muda lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan sektor pendidikan dan kebudayaan di Sarawak.
“Saya percaya setiap anak Sarawak perlu diberi peluang mendapatkan pendidikan yang baik, persekitaran yang lebih sempurna serta peluang yang lebih luas untuk membina masa depan,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha menghargai warga emas dan mengiktiraf pencapaian pelajar perlu diteruskan supaya nilai murni serta semangat mengejar kecemerlangan dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.
Beliau turut menyerahkan sumbangan RM40,000 kepada Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei dan RM10,000 kepada Biro Wanita persatuan berkenaan, menjadikan keseluruhan sumbangan berjumlah RM50,000.
Oleh Earl Anek




