SARIKEI: Pendidikan berkualiti menjadi asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pendidikan bukan sekadar memberi pengetahuan akademik, malah berperanan membentuk sahsiah, disiplin dan keyakinan diri generasi muda.
“Pendidikan bukan sekadar belajar di dalam kelas, tetapi juga membentuk sahsiah, disiplin dan keyakinan diri untuk menghadapi masa depan.
“Saya berharap pengalaman sepanjang kem ini dapat menjadi kenangan yang bermakna dan memberi semangat kepada semua peserta untuk terus belajar dan berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kem Perkembangan Murid Sekolah Rendah 2026, bertempat di Sekolah Menengah (SM) Ming Lik, semalam.
Tambahnya, program yang dijalankan selama dua hari tersebut bukan sahaja membantu murid menimba ilmu baharu, malah membina keyakinan diri, memupuk semangat bekerjasama dan mengasah kemahiran berfikir.
“Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang kem turut memberi peluang kepada peserta menghargai bahasa ibunda, mengenali budaya sendiri dan mengukuhkan jati diri sebagai generasi pewaris masa depan.
“Saya akan berusaha untuk terus menyalurkan pelbagai peruntukan untuk menaik taraf sekolah, membangunkan infrastruktur, membaiki jalan raya serta menyokong pembangunan agama dan kebudayaan demi kesejahteraan rakyat di Sarikei dan Meradong,” katanya.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memajukan sektor pendidikan di negeri ini.
Katanya, pelbagai dasar dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Sarawak membuktikan pendidikan terus menjadi antara keutamaan dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing pada peringkat global.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada SM Ming Lik sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan dan usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran di sekolah tersebut.
Oleh Earl Anek





