
SARIKEI: Pendidikan merupakan ejen perubahan kepada kesejahteraan masyarakat dan negara, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata hanya melalui pendidikan yang berkualiti, generasi muda dapat membentuk jati diri kukuh serta menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.
“Melalui pendidikan, kita membentuk insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing. Hanya dengan ilmu dan nilai yang kukuh, kita dapat membina bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pemanca Chan Phan Chan selaku wakilnya di Majlis Graduasi ke-11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya bertujuan memperoleh sijil atau keputusan cemerlang, tetapi juga medan untuk membentuk nilai, disiplin serta keperibadian pelajar agar mampu bersaing dalam dunia global yang mencabar.
“Dunia hari ini menuntut kemahiran abad ke-21 seperti berfikir kritis, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti.
“Pelajar perlu berani menghadapi perubahan serta menggunakan teknologi secara bijak,” katanya.

Beliau turut menggesa ibubapa agar terus menjadi tonggak dalam kejayaan anak-anak mereka dengan memberi sokongan moral, perhatian dan dorongan yang berterusan.
“Anak-anak yang berjaya lahir daripada keluarga yang percaya kepada kuasa pendidikan dan sentiasa memberi semangat kepada mereka.
“Oleh itu, kerjasama antara sekolah, ibubapa dan komuniti amat penting dalam membentuk generasi pelajar yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk pelaksanaan dasar pendidikan tertiari percuma di negeri ini.
Oleh Earl Anek