
BINTULU: Pendidikan berkualiti menjadi asas penting dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berdisiplin dan berdaya saing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, usaha melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran yang selaras dengan keperluan abad ke-21.
“Majlis seperti ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah juga kecemerlangan dalam bidang kokurikulum, kepimpinan pelajar serta dedikasi para guru dan warga sekolah yang sentiasa berganding bahu demi kecemerlangan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu Sesi 2025 di salah sebuah restoran di sini, hari ini.

Tiong turut merakamkan penghargaan kepada para guru yang komited mendidik dan membimbing pelajar hingga mencapai kejayaan.
“Kejayaan pelajar adalah hasil usaha berterusan guru-guru serta sokongan padu daripada ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam melengkapkan ekosistem pendidikan,” ujarnya.
Beliau turut menasihati pelajar agar terus mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terkini, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0.
“Jangan takut untuk bermimpi besar. Kejayaan tidak datang bergolek, ia menuntut usaha, kesungguhan dan daya tahan,” katanya.

Ahli Parlimen Bintulu itu juga menegaskan, bermula 2026, kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir kerana kekangan kewangan.
“Tawaran ini merupakan peluang besar yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar,” tambahnya.
Oleh Carolyne Utih