
KABONG: Pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan berilmu, berakhlak dan beradab, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, hormat, ihsan dan keikhlasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi turut berperanan membentuk keperibadian unggul yang berpaksikan nilai-nilai murni.
Katanya, generasi muda perlu berpegang kepada ilmu, akhlak dan keikhlasan sebagai bekalan hidup dalam menghadapi cabaran masa depan.
Chee Kadir turut menekankan bahawa pelajar masa kini perlu dididik untuk memahami erti tanggungjawab, saling menghormati dan sentiasa menanam semangat ihsan terhadap sesama manusia bagi membina masyarakat harmoni dan sejahtera.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong Sesi 2025 yang diadakan di Dewan Balai Polis Kabong, di sini, hari ini.
Majlis penuh meriah itu meraikan seramai 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 yang menamatkan persekolahan mereka di SMK Kabong.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyampaikan sumbangan di bawah Projek Khas kerajaan Sarawak bagi kawasan Kabong, antaranya RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kabong, RM24,000 kepada PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman bagi program tahunan sekolah dan khatam al-Quran.
Selain itu RM6,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong, RM6,000 kepada PIBG SJK Chung Hua Kabong serta RM5,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kabong.
Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan ibu bapa atas usaha serta kerjasama erat dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak tinggi dan beradab, sejajar dengan hasrat kerajaan membina masyarakat Malaysia MADANI yang seimbang dan berdaya saing.
Turut hadir ialah Datin Meryani Yasin, Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor, Pengetua SMK Kabong, Ismail Mohamad serta barisan pentadbir dan guru kanan sekolah.
Oleh Adi Safarman