
PETRA JAYA: Pendidikan bukan sekadar proses memperoleh ilmu pengetahuan, sebaliknya merupakan usaha menyeluruh dalam membentuk insan berakhlak, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendidikan ditegaskan sebagai asas utama pembangunan individu, masyarakat dan negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menegaskan bahawa antara kepentingan utama pendidikan ialah meningkatkan taraf hidup melalui peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, di samping membentuk sahsiah serta nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

“Pendidikan juga berperanan memajukan negara melalui pembangunan modal insan, mengurangkan kemiskinan dan jurang sosial, serta melahirkan masyarakat yang mampu berfikir secara kritis dan rasional,” katanya pada majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Murid SPM 2024 dan Pelancaran Jaket Keselamatan serta Helmet Murid SMK Bako di Dewan Wan Deli, Kampung Senari, hari ini.
Seramai 104 murid cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 telah menerima sumbangan insentif pendidikan sebagai penghargaan atas kecemerlangan mereka.
Selain penyampaian insentif, majlis turut menyaksikan pelancaran jaket keselamatan dan helmet murid sebagai langkah proaktif dalam memastikan keselamatan pelajar, khususnya yang menggunakan kenderaan dua roda ke sekolah.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menyokong agenda pendidikan serta kebajikan murid, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan berdaya saing demi masa depan Sarawak dan negara.
Majlis tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai pencapaian akademik para murid, malah menjadi galakan berterusan agar mereka terus cemerlang dalam bidang pendidikan, yang disifatkan sebagai warisan paling lestari untuk menjamin masa depan.
Oleh Shikin Mahmud