Kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi pelapis generasi negara. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka pada masa akan datang, namun ramai yang tidak tahu cara untuk mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan yang betul.
Justeru pendidikan awal kanak-kanak perlu diberikan sebelum melangkah ke tahun satu kerana peringkat kanak-kanak merupakan peringkat yang mudah untuk menerima pembelajaran yang baharu dan mudah untuk memupuk tahap perkembangan berbanding dengn peringkat umur yang telah dewasa.
Kemahiran sosial kanak-kanak juga dapat diasah dan dilating agar mereka lebih mudah berkomunikasi sesama rakan dan juga guru.
Kanak-kanak dapat memahami tentang apa yang disampaikan dengan mudah melalui aktiviti-aktiviti yang menarik dan seronok kerana pada peringkat ini kanak-kanak akan belajar pelbagai perkara baharu melalui persekitaran yang kondusif, kata Pegawai Kebajikan Masyarakat (KEMAS) Marudi Hamisah Saadi.
Ketika ditemu bual Utusan Sarawak melalui telefon, Hamisah mengetengahkan maksud pendidikan awal kanak-kanak iaitu bertujuan mengembangkan potensi kanak-kanak berumur empat sehingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat dan juga untuk persediaan bagi menangani cabaran dan tanggungjawab semasa melangkah ke sekolah rendah.
Dalam pada itu menurut Hamisa, ibu bapa menganggap pendidikan awal kanak-kanak sebagai tempat untuk kanak-kanak bermain dan juga untuk menjadi pusat penjagaan kanak-kanak.
“Ini adalah pandangan ibu bapa yang kurang pendedahan mengenai konsep pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dan apabila mereka sudah didedahkan melalui program keibubapaan dan program lain mereka mempunyai kesedaran tentang konsep pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak yang diterapkan dalam Tabika KEMAS,” katanya.
Tegasnya di Tabika KEMAS kanak-kanak akan diajar melalui konsep belajar, melalui aktiviti bermain di mana kanak-kanak akan mudah menerima pembelajaran apabila mereka berasa seronok dengan keadaan yang kondusif.
“Pada masa ini ibu bapa akan berasa lebih memilih untuk menghantar kanak-kanak ke Tabika KEMAS kerana ia mempunyai banyak aktiviti yang boleh diikuti kanak-kanak untuk pembelajaran, “ dedah Hamisah.
Pendidikan awal kanak-kanak kata beliau, penting untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk jati diri yang positif pada diri mereka agar bersedia melangkah ke alam sekolah rendah.
Katanya pembelajaran di Tabika KEMAS amat berbeza dengan ada di sekolah tadika lain kerana di sini kanak-kanak belajar tentang sesuatu perkara secara santai.
Malah kebanyakan Tabika KEMAS menggunakan teknik bermain sambil belajar supaya kanak-kanak lebih tertarik mendalami ilmu.
Menyentuh tentang misi, visi dan rancangan jabatan KEMAS, Hamisah berkata visi mereka ialah pendidikan berkualiti, seimbang dan holistik dan kesejahteraan kanak-kanak, manakala misinya pula adalah pengurusan pendidikan awal kanak-kanak yang efektif dan efisyen dalam merealisasikan harapan negara.
Jelasnya dalam Jabatan KEMAS ada enam strategi yang akan diikuti untuk menjadikan tadika itu sebagai institusi unggul iaitu meningkatkan kadar enrolmen, meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak dan membudayakan kreativiti dan inovasi.
Strategi lain adalah menaik taraf Tabika KEMAS dan Taska KEMAS, mengwujudkan pangkalan data bangunan yang cekap, membangunkan potensi kanak-kanak dan meningkatkan penguasaan tunjang KSPK, mewujudkan pakar bidang dan meningkakan profesionalisme Bahasa Inggeris.
Hamisah menambah, sasaran lain adalah meningkatkan kebertanggunjawaban aktiviti, pemantapan bengkel keibubapaan dan meningkatkan senergi dengan pihak-pihak lain dan mengukuhkan pemakanan sihat serta membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh JIKU JUGUONG.