Pendidikan awal kanak-kanak pelaburan terbaik bentuk modal insan berkualiti – Doris Sophia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LINGGA: Pendidikan awal merupakan asas kepada pembentukan modal insan yang berkualiti serta pelaburan terbaik bagi menjamin masa depan anak-anak dan pembangunan negara.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, usaha memperkukuh pendidikan sejak usia muda perlu berjalan seiring dengan pemerkasaan teknologi dan literasi digital bagi memastikan masyarakat, khususnya di luar bandar, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa.

Menurutnya, penganjuran Bengkel Dagang Digital dan Projek Pensel merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dalam usaha memperkasa komuniti melalui ilmu, teknologi dan pendidikan.

“Bengkel Dagang Digital membuka peluang kepada peserta untuk memahami potensi ekonomi digital serta memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan pendapatan, memperluaskan peluang perniagaan dan membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Dagang Digital dan Projek Pensel anjuran Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) di Rumah Rokiah Banseng, di sini, semalam.

DATO Sri Doris Sophia Brodie menerima cenderamata semasa Bengkel Dagang Digital dan Projek Pensel anjuran WESNA di Rumah Rokiah Banseng. Foto Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Aman

Mengulas mengenai Projek Pensel, Doris berkata program itu merupakan satu usaha murni untuk menyemai minat membaca, menulis dan belajar dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, pendidikan awal bukan sahaja membentuk asas pembelajaran, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang berakhlak, berpengetahuan serta memiliki daya saing tinggi.

“Pendidikan awal merupakan asas kepada pembentukan modal insan yang berkualiti dan pelaburan terbaik untuk masa depan anak-anak kita,” tegas beliau.

Beliau berkata, pendedahan kepada teknologi digital dan budaya pembelajaran sejak awal mampu melahirkan masyarakat yang lebih bersedia menghadapi perubahan serta memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Sehubungan itu, Doris berharap agar kedua-dua program berkenaan menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi yang celik digital, berilmu, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran dunia yang berkembang pesat.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat berganding bahu melaksanakan program seumpama itu bagi memperluaskan akses pendidikan dan teknologi kepada masyarakat luar bandar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) atas komitmen berterusan dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasakan pendidikan serta meningkatkan literasi digital demi melahirkan komuniti yang lebih berdaya maju dan berdaya tahan.

Oleh Adi Safarman