Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pendidik perlu lebih proaktif jaga kesihatan
  • Tengah
  • WILAYAH

Pendidik perlu lebih proaktif jaga kesihatan

Utusan Sarawak 2 months ago
UTAMAKAN KESIHATAN… Datuk Michael Tiang serta kenamaan lain merakam gambar bersama para peserta Ceramah Kesihatan Mental di Methodist Pilley Institute (MPI), Sibu hari ini.

SIBU: Para pendidik perlu mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan mereka bagi memastikan keberkesanan mendidik generasi akan datang, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.

Beliau menegaskan bahawa kesihatan adalah ‘kekayaan’ sebenar yang perlu diberi keutamaan oleh golongan guru kerana tanpa tubuh yang sihat, seseorang tidak dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya pendidikan.

“Kesihatan bukan sahaja keutamaan pertama tetapi satu-satunya keutamaan. Kita hanya sedar betapa berharganya kesihatan apabila jatuh sakit,” katanya ketika merasmikan Ceramah Kesihatan Mental di Methodist Pilley Institute (MPI) di sini, hari ini.

Lebih 50 peserta, kebanyakannya guru, telah memeriahkan ceramah bertemakan ‘Guru Gembira, Bermula Dari Hati’ yang dianjurkan bersama Persatuan Guru-Guru Cina Sibu (SCTA) dan Persatuan Kesihatan Mental (MHA) Cawangan Sibu.

Ceramah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan dalam kalangan pendidik serta hubungan kesihatan dengan keberkesanan pengajaran.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai isu kesihatan mental serta menawarkan strategi praktikal bagi menjaga kesejahteraan guru.

Menurut Tiang, beban kerja yang semakin meningkat serta tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk pelajar dan keluarga, menyebabkan ramai guru berdepan masalah kesihatan dan keletihan.

“Guru yang paling berdedikasi juga tidak terlepas daripada risiko keletihan fizikal dan mental. Ramai dalam kalangan mereka terpaksa bersara awal akibat masalah kesihatan,” jelasnya.

Sebagai langkah penyelesaian, beliau mencadangkan agar SCTA menggalakkan guru menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun atau setiap enam bulan, bagi memastikan mereka kekal sihat dan mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik.

Tiang turut berharap para guru yang hadir dapat menjadi contoh yang baik, bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga dalam menjaga kesejahteraan diri sendiri.

“Mengutamakan kesejahteraan adalah asas kejayaan para pendidik dan juga kejayaan pelajar-pelajar mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MHA Cawangan Sibu, Kapitan So Teck Kee dan Pengerusi SCTA Ngu Yew Wung.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: 116 mangsa di PPS Dewan Serbaguna Selangau
Next: RM509,100 geran MRP disalurkan kepada 25 organisasi DUN Mulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.