
SARIKEI: Kunjungan rumah ke rumah oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) mencerminkan komitmen berterusannya dalam mendekati rakyat serta memperkukuh perpaduan masyarakat di kawasan Repok dan Parlimen Sarikei.
Dalam suasana perayaan yang penuh kemeriahan dan harmoni, beliau telah mengunjungi kediaman beberapa pemimpin masyarakat termasuk Penghulu Huang Tiong Kang dan Kapitan Ling Sien Chuong bagi menyampaikan ucapan TBC secara peribadi serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, sambutan perayaan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, malah memberi ruang kepada wakil rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat dan memahami keperluan mereka di peringkat akar umbi.
“Saya amat menghargai sokongan dan kerjasama berterusan daripada para pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
“Keharmonian dan semangat muafakat inilah yang menjadi asas kekuatan pembangunan di Sarikei,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, pendekatan turun padang dan kunjungan secara langsung membolehkan beliau mendengar sendiri pandangan, cadangan serta maklum balas daripada masyarakat.
“Pendekatan turun padang ini sekali gus membantu dalam merancang pelaksanaan pembangunan yang lebih berkesan dan inklusif,” katanya.
Tiong Sii yang diiringi oleh pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan.
Oleh Earl Anek