
PETRA JAYA: Program Kemampanan Dalam: Kemampanan Dalam, Bumi Hijau Melangkaui 2025 dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (LCDA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan pihak berkuasa tempatan disifatkan sebagai pendekatan strategik dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata program tersebut memberi penekanan kepada pembentukan kesedaran dalaman individu agar amalan kehidupan seharian dapat dilaksanakan secara lestari dan berpaksikan penjagaan alam sekitar.
Menurut beliau, gaya hidup mampan perlu diterjemahkan melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik termasuk amalan kitar semula, di samping mengurangkan pembaziran sumber yang akhirnya memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
“Sisa buangan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai bahan buangan, sebaliknya berpotensi dijadikan input bahan mentah yang mampu menjana pendapatan kepada komuniti tempatan sekiranya diurus dengan betul,” katanya ketika program berkenaan di Surau Darul Hijrah, Darul Hana, hari ini.
Beliau berkata penglibatan LCDA, Unimas dan pihak berkuasa tempatan dalam program tersebut memberi keyakinan bahawa inisiatif kelestarian ini mampu diperluaskan ke peringkat komuniti lain di seluruh Sarawak.
Tambahnya, pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara seimbang dengan memberi penekanan kepada kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar, di samping memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan sosial dan ekonomi secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Len Talif menegaskan isu sisa makanan dan minyak masak terpakai masih berada pada tahap yang membimbangkan, terutamanya ketika penganjuran majlis dan program berskala besar yang menghasilkan jumlah sisa yang tinggi.
Katanya, kegagalan menangani sisa makanan secara segera boleh membawa kepada permasalahan alam sekitar pada masa hadapan, justeru pendekatan menyeluruh perlu diambil bermula daripada peringkat penggunaan bahan mentah sehingga kepada pengurusan sisa.
Beliau turut menyifatkan usaha mendidik golongan muda, khususnya pelajar sekolah, sebagai pelaburan jangka panjang kerana mereka berpotensi menjadi duta kelestarian dalam menyebarkan kesedaran mengenai amalan kitar semula dan ekonomi sisa.
“Konsep jangan bazirkan sisa perlu difahami masyarakat, di mana sisa bukan sekadar bahan buangan tetapi boleh dimonetisasikan dan memberi nilai ekonomi kepada komuniti,” ujarnya.
Mengulas isu alam sekitar lain termasuk kejadian banjir dan keseimbangan ekosistem, beliau berkata ia perlu dijadikan sebagai peringatan kepada semua pihak bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam menjaga alam sekitar.
Beliau menegaskan kerajaan negeri terus mengambil langkah mengurangkan penebangan hutan, mempergiat penanaman pokok serta melaksanakan pelbagai intervensi jangka panjang bagi memastikan alam sekitar Sarawak terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Shikin Mahmud