ALOR GAJAH: Kerajaan akan mengambil pendekatan serampang dua mata dalam memperkukuh pasaran eksport minyak sawit di rantau Asia selain menangani isu sentimen kempen anti minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu antaranya untuk memperkuatkan imej dan meningkatkan kualiti minyak sawit negara.
“Kita tahu kempen sentimen itu adalah isu lama untuk menjatuhkan produk sawit. Bagi menanganinya, fokus kita adalah meneroka pasaran baharu dan lebih besar untuk memastikan Malaysia mampu menjadi peneraju negara pengeksport di Asia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di Kampung Pengkalan di sini, semalam.
Katanya, antara negara yang menjadi tumpuan ialah Asia Tengah dan Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan kerana negara-negara itu merupakan pengimport utama sawit negara.
“Fokus kita kini ialah negara Timur Tengah dan Asia Selatan yang mengimport dan mencatatkan permintaan yang tinggi kerana mereka tahu produk sawit keluaran negara berkualiti tinggi dan sihat untuk digunakan.
“Faktor permintaan tinggi ini dipengaruhi oleh cara hidup di negara tersebut yang berteraskan minyak masak dalam makanan,” katanya.
Katanya, kementerian turut menyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus untuk eksport sawit pada tahun ini dan yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan peningkatan pada tahun lepas walaupun berdepan dengan situasi pandemik yang melanda dunia.
Nilai eksport minyak sawit dan derivatif hiliran Malaysia melonjak 40 peratus kepada RM91.4 bilion bagi tempoh Jan hingga Nov 2021 berbanding RM65.3 bilion bagi tempoh sama pada 2020.- Bernama