Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pendekatan lestari pacu pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara – Premier Sarawak
  • Utara
  • WILAYAH

Pendekatan lestari pacu pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara – Premier Sarawak

Utusan Sarawak 3 weeks ago
 BERTEKNOLOGI TINGGI..Abang Johari (lima kiri) bersama (dari kiri) Henry Sum, Dr Abdul Rahman Ismail serta tetamu kenamaan yang lain pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di Limbang hari ini.

LIMBANG: Pembinaan Projek Lebuh Raya Pesisir Utara mengguna pakai pendekatan berteknologi tinggi dan berteraskan kelestarian alam sekitar bagi memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penggunaan teknologi moden dalam projek itu menandakan transformasi besar dalam bidang kejuruteraan jalan raya negeri, khususnya melalui penerapan konsep hijau dalam pembinaan infrastruktur awam.

“Kita kini menggunakan pendekatan baharu dalam pembinaan jalan raya dengan memanfaatkan teknologi terkini.

“Bagi kawasan tanah gambut di Limbang dan Lawas, kita menggunakan konsep jalan bertiang jenis struktur viaduct bagi memastikan kestabilan tanah gambut tidak terjejas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di sini, hari ini.

PENGHARGAAN…Temenggong Rosli Majid mengetuai Ketua Masyarakat Bahagian Limbang menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sambil disaksikan Awang Tengah dan kenamaan lainnya.

Menurut beliau, tanah gambut berperanan sebagai penyimpan karbon semula jadi yang tidak boleh diganggu sewenang-wenangnya dalam proses pembinaan.

“Tanah gambut menyimpan karbon dalam jumlah besar. Jika strukturnya terganggu, karbon akan dilepaskan ke atmosfera.

“Dengan membina jalan bertiang, kita bukan sahaja memelihara alam semula jadi, malah membuka peluang baharu seperti perdagangan karbon,” ujarnya.

Abang Johari menjelaskan bahawa dasar pembangunan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) berteraskan pembangunan lestari, selaras dengan matlamat menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau yakin pelaksanaan projek Lebuh Raya Pesisir Utara akan mengubah landskap ekonomi kawasan pesisir dengan membuka peluang pelaburan baharu, mempercepatkan perhubungan, serta merancakkan sektor pelancongan.

“Apabila lebuh raya ini siap sepenuhnya, kawasan Limbang dan Lawas akan menjadi lebih rancak. Reka bentuknya moden, infrastrukturnya menarik, malah berpotensi menjadi tarikan pelancong seperti di negara maju,” katanya.

TERIMA KASIH…laungan terima kasih lima ribu penduduk Limbang dan Lawas yang hadir pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di Limbang. 

Projek Lebuh Raya Pesisir Utara akan menghubungkan kawasan pesisir termasuk bandar utama seperti Miri, Limbang dan Lawas, serta diintegrasikan dengan Rangkaian Jalan Raya Sarawak–Sabah dan Lebuh Raya Pan Borneo, menjadikannya rangkaian strategik yang menghubungkan seluruh pesisir utara Borneo.

Dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, projek berkenaan dijangka siap menjelang 2030, dengan panjang keseluruhan 87.96 kilometer.

Penjajaran utama bagi bahagian Limbang bermula dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tedungan hingga ICQS Pandaruan sepanjang 44.458 kilometer, manakala bahagian Lawas bermula dari ICQS Mengkalap hingga ICQS Merapok, melibatkan jarak 43.502 kilometer.

Projek ini turut merangkumi pembinaan 13 jambatan, termasuk sebuah jambatan ikonik, 44 perhentian bas, serta empat kawasan rehat dan khidmat.

Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Koordinator Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, serta tetamu kenamaan yang lain.

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: Pesta Kanowit rai kepelbagaian budaya, eratkan silaturahim masyarakat
Next: Kaunter Bergerak SUPP mudahkan urusan komuniti di Joy Food Court

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.