BAGI negeri mahupun negara yang baru membangun, penyediaan keperluan asas rakyat adalah aspek terpenting. Keperluan asas itu pula bergantung terhadap keperluan masyarakat setempat yang berlainan wilayah. Maka, pendekatan keperluan asas ialah ‘mantera’ asas pembangunan yang mampu mengubah kehidupan manusia untuk dipenuhi keperluan asas rakyat. Pendekatan ini sebenarnya adalah salah satu strategi digunakan di pelbagai negara dunia termasuk Malaysia.
Sebenarnya, pendekatan keperluan asas bukanlah suatu yang baharu dari segi etos keperluan pembangunan. Apabila perang dunia kedua, pendudukan Jepun ke Tanah Melayu dan era selepas penyerahan kalah Jepun, etos tersebut sudah ada. Pada zaman Jepun, berlaku ketidakcukupan makanan, maka, penanaman ubi dilakukan dan selepas itu, keperluan keterjaminan makanan mula difikirkan secara lebih terancang bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan.
Selepas kemerdekaan negara, aspek penjagaan kesihatan khususnya pemakanan yang sihat juga diberikan perhatian terutama untuk ibu-ibu yang hamil dan bayi dilahirkan.
Keperluan manusia
Teori hieraki Maslow dianggap dominan untuk memenuhi keperluan manusia. Pandangan ini dicipta pada 1943 dan awal 1950-an untuk melihat punca manusia bermotivasi bagi memenuhi keperluan mereka secara berperingkat-peringkat dan ini bergantung kepada situasi semasa mereka.
Dalam teori keperluan keutamaan ini, Maslow telah membuat lima kategori dan berdasarkan urutan yang dimulai oleh keperluan fisiologi atau keperluan asas, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang dan sosial, keperluan penghargaan diri, dan keperluan pencapaian hasrat diri.
Pada 1960-an, suasana ekonomi berkembang dan telah membina keyakinan negara namun dinamika ekonomi ini tidak dapat menyempurnakan matlamat dan ini memberian rasa kekecewaan mengenai proses dan hasil perindustriaan. Dudley Seers (1969), ahli ekonomi pembangunan menyatakan cabaran dihadapi tu perlu mengenepikan fantasi jaringan dalam makna dan konsep ‘pembangunan’ agar dapat merangka sasaran atau ukuran kemajuan yang lebih bermakna untuk menilai kepentingan relatif pelbagai masalah yang timbul dalam proses pembangunan, agar dapat membantu memperbaiki dasar, nasional atau antarabangsa.
Justeru, bagi Seers, pembangunan adalah mengenai tahap kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan dalam sesebuah negara. Sekiranya ketiga-tiga aspek pembolehubah ini berkurangan rendah dalam satu tempoh masa, maka pembangunan telah berlaku untuk negara tersebut.
Kesedaran baharu
Berdasarkan reaksi terhadap Seers itu, Denis Goulet (1971) mengemukakan konsep keperluan asas berdasarkan Maslow akan tetapi diperdalami lagi dengan tiga tahap perbezaan keperluan. Tahap pertama pakaian, makanan dan perlindungan, peningkatan keperluan dan tahap ketiga ialah keperluan mewah.
Aspek ini dikaitkan dengan keperluan asas, harga diri, dan kebebasan. Ini terpancar dalam bukunya The Cruel Choice: A New Consept in the of Development. Pandangan-pandangan ini menyebabkan pada pertengahan 1970-an, konsep keperluan asas mulai mendapat perhatian pengkaji pembangunan dan menarik perhatian golongan pemerintah dan kerajaan khususnya kalangan negara membangun.
Perkembangan 1970-an juga memperlihatkan dasar turun ke bawah (top-down) mempunyai kejayaan yang terbatas dalam mengurangkan kemiskinan dan manfaat pembangunan ekonomi lebih diniimati kelompok atau negara kaya. Jadi, ini mendorong kepada pemikiran semula untuk menilai pembangunan untuk tujuan meningkatkan lagi tahap hidup untuk dicapai.
Gerakan institusi
Peranan Bank Dunia dan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) sangat penting yang banyak menekankan keperluan asas perlu dibuat secara semulajadi sesuai dengan evolusi idea pembangunan pada tahun 1970-an yang mulai berubah penekanaan, iaitu daripada penekanan pertumbuhan ekonomi kepada isu pertumbuhan ke arah isu kemiskinan dan pengagihan pendapatan, selepas terbukti bahawa usaha pembangunan sebelum ini sebahagian besarnya mampu mengatasi miskin.
Dalam program tindakan pada 1975, ILO mencadangkan perlu ada strategi, rancangan dan dasar negara hendaklah disertakan secara eksplisit sebagai objektif keutamaan bagi kenaikan pangkat pekerjaan dan kepuasan keperluan asas penduduk setiap negara.
Bank Dunia yang diterajui oleh Robert McNamara, mempunyai dasar yang dinamik dan berkesan. Pada 1977, Jawatankuasa Bantuan Pembangunan OECD 1977 menekankan pula bantuan pembangunan akan ditujukan kepada negara membangun yang berusaha untuk mengembangkan keupayaan mereka bagi memenuhi keperluan asas rakyat mereka dengan lebih berkesan dalam konteks mencapai pertumbuhan. Inilah memberikan motivasi, galakan dan sambutan kalangan negara-negara membangun untuk memfokuskan pembangunan asas atas galakan badan dunia antarabangsa.
Dalam konteks Pendekatan Keperluan Asas, tidak ada teori atau seperangkat dasar yang dijadikan secara padu, akan tetapi boleh sahaja berbeza, diasingkan mengikut keperluan setempat. Ia lebih kepada pandangan luas tentang pembangunan, yang memberi tumpuan kepada memerangi kemiskinan dan meningkatkan produktiviti bahagian penduduk termiskin. Asasnya ialah kepercayaan bahawa pembangunan ekonomi hanya boleh dikatakan berlaku jika ia mencapai dan mencecah di setiap peringkat kependudukan, dan akan tetapi ini dianggap sesuatu yang mustahil melainkan golongan miskin memenuhi sekurang-kurangnya keperluan asas yang diperlukan untuk kewujudan yang produktif.
Bagi mencapai matlamat ini, penekanan diletakkan dalam pelbagai peringkat, pada dalaman seperti semangat berdikari, perubahan dalam komposisi permintaan pada tahap tertentu, penggunaan dan corak pengeluaran, penggunaan sumber tempatan dan teknologi yang sesuai ( Keeton, 1984: 280).
Pendekatan
Keperluan asas ini bukan sahaja berbentuk fizikal untuk kelangsungan hidup akan tetapi juga perlu ada akses untuk perkhidmatan, pekerjaan, ada ruang membuat keputusan untuk keperluan asas penyertaan rakyat yang dilihat juga seolah-olah dipengaruhi oleh teori kebergantungan. ILO telah mengemukan kategori pendekatan keperluan asas kepada empat aspek iaitu, keperluan asas (makanan perlindungan pakaian).
Yang kedua, keperluan perkhidmatan air bersih dan pembersihan, pendidikan, pengangkutan dan khidmat kesihatan. Yang ketiga, buruh bergaji munasabah dan yang keempat ialah memenuhi keperluan bersifat kualitatif seperti persekitaran yang sihat, selamat dan boleh terlibat dalam proses membuat keputusan.
Pendekatan keperluan asas yang berbeza boleh dibahagikan kepada dua, iaitu pendekatan konservatif dan radikal yang bergantung kepada tahap perubahan yang dijangka, program anti kemiskinan yang mencadangkan perubahan sedikit demi sedikit perubahan.
Masalah kemiskinan disifatkan berpunca daripada faktor dalaman dalam setiap negara membangun. Oleh itu, kemiskinan boleh diatasi oleh dasar yang ditujukan kepada halangan dalaman ini kepada pembangunan. Akibatnya, strategi boleh dikembangkan secara sektoral, manakala sistem ekonomi itu sendiri tidak berubah.
Contoh strategi dilakukan ialah memberi bantuan membuat rumah secara percuma untuk golongan termiskin atau memberikan tanah lot percuma untuk bertani. Yang kedua, pula menetapkan satu piawai yang lebih padu untuk memperkuatkan asas yang melibatkan struktur kebangsaan dan antarabangsa.
Pendekatan ini termasuklah mengkaji semula soal pengagihan semula pendapatan dan kekayaan di negara membangun. Hal ini penting orang miskin mempunyai akses lebih baik dari segi permintaan barangan dan perkhidmatan asas. Terdapat juga usaha untuk melakukan peralihan struktur pengeluaran daripada fokus penghasilan barangan dan perkhidmatan mewah yang dilanggan oleh golongan minoriti yang berkemampuan besar kepada fokus terhadap barangan dan perkhidmatan asas golongan majoriti.
Penggunaan teknologi dan penghasilan produk yang sesuai mampu pengagihan pendapatan rakyat miskin. Industri kraf tangan di kampung, penghasilan keropok setempat, penternakan ikan air tawar, program inap desa boleh membantu meningkatkan produktiviti golongan miskin. Keperluan ini penting bagi membina kehidupan rakyat sejahtera.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah Penganalisis Sosiopolitik dan Sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).