Pendekatan harga tetap tiket AirBorneo, amat menarik

Facebook
WhatsApp

RATA-rata antara kita setuju bahawa kos operasi sebuah syarikat penerbangan adalah tinggi. Ramai juga yang sedar, malah ada yang berkeinginan untuk bekerja sebagai juruterbang atau jurutera penyelenggaraan pesawat kerana bidang ini menawarkan gaji lumayan.

Kita turut maklum, harga sebuah pesawat penumpang yang kecil seperti DHC-6 Twin Otter pun mencecah jutaan ringgit, apatah lagi pesawat yang lebih besar.

Tambahan pula, setiap kemudahan yang diperlukan untuk melengkapkan operasi penerbangan perlu sentiasa dikemas kini dan diperbaiki bagi memberikan keselesaan kepada pengguna. Semua ini turut memerlukan kos yang besar.

Tetapi pada masa sama, kerana perjalanan udara kini boleh dikatakan sebagai suatu keperluan, kita mahu harga tambang penerbangan serendah yang mungkin dengan keselesaan semaksimum yang boleh.

Dahulu, sebelum wujud syarikat penerbangan tambang rendah, kebanyakan orang sememangnya melihat peluang menaiki kapal terbang sebagai suatu kemewahan.

Tiada yang menyangka akan berlaku satu perubahan besar apabila ada pihak yang berani menawarkan harga tambang lebih murah. Mungkin slogan yang dilaungkan itu ada benarnya.

Ungkapan ‘kini semua orang boleh terbang’ memberikan peluang kepada mereka yang sebelum ini kurang berkemampuan untuk menikmati pemandangan di langit yang saujana mata memandang.

Destinasi yang dahulunya hanya sekadar impian kerana harga tiket mahal kini sudah menjadi kenyataan yang mampu dicapai. Jika diperhatikan, harga yang murah ini ditawarkan hanya untuk mendapatkan kemudahan asas, iaitu masuk dan duduk di dalam pesawat.

Apabila penumpang mahu menggunakan kemudahan tambahan seperti memilih tempat duduk lebih selesa, membawa bagasi lebih berat, menikmati hidangan semasa penerbangan dan lain-lain, bayaran berasingan akan dikenakan.

Ada kemungkinan harga yang rendah pada awalnya menjadi tinggi sekiranya ditambah dengan keperluan tersebut. Bagi golongan ‘backpacker’ atau pengembara solo, mungkin harga tambang yang dipilih tidak banyak berubah, namun tidak bagi penumpang yang lain.

Dilema yang mencabar

Bagi syarikat penerbangan, sungguhpun harga yang ditawarkan adalah rendah, syarikat tetap terikat dengan komitmen untuk memastikan prestasi perkhidmatan kekal tinggi selain mematuhi ketetapan keselamatan yang ditentukan oleh pihak berkuasa penerbangan awam.

Maka disebabkan hal ini, syarikat penerbangan berdepan dengan dilema yang mencabar. Penumpang mahukan tambang rendah manakala syarikat pula perlu memastikan hasil yang diterima mencukupi untuk menampung operasi.

Jika harga terlalu tinggi, pelanggan akan mencari pilihan lain. Jika terlalu rendah, syarikat mungkin dapat membawa ramai penumpang tetapi masih tidak mampu menampung kos tinggi.

Bagi AirBorneo, ia hadir sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat melalui perkhidmatan udara ke kawasan pedalaman serta laluan strategik di luar Sarawak, selaras dengan tanggungjawab sosial dan keperluan keterhubungan wilayah ini.

Apabila mengambil alih MASwings, tanggungjawab mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) masih diteruskan. Laluan ini pada dasarnya tidak memberikan pulangan keuntungan yang besar, namun perkhidmatannya tetap perlu dikekalkan kerana menjadi keperluan kepada masyarakat yang bergantung padanya.

Walaupun dilaksanakan di bawah kerangka tanggungjawab perkhidmatan awam, harga tiket RAS masih ditentukan secara dinamik berdasarkan masa pembelian, kelas tempahan dan jumlah tempat duduk yang masih tersedia.

Bezanya, perubahan harga itu kekal dalam lingkungan yang terkawal supaya tidak membebankan masyarakat yang bergantung pada laluan tersebut.

Subsidi yang disediakan pula bukan semata-mata untuk menjadikan harga tiket murah, tetapi bagi menampung kekurangan antara hasil jualan tambang dengan kos sebenar operasi penerbangan.

Justeru, harga tiket bagi laluan RAS tidak semestinya sentiasa murah. Ada ketikanya tambang untuk jarak yang lebih pendek kelihatan agak tinggi jika dibandingkan dengan laluan komersial yang lebih jauh. Hal ini berlaku kerana kos mengendalikan sesuatu penerbangan tidak hanya bergantung pada jarak perjalanan.

Bagi laluan pesawat jet ke destinasi di luar Sarawak, pendekatan yang sedikit berbeza diambil. Laluan ini perlu dikendalikan secara komersial kerana AirBorneo perlu bersaing dengan syarikat penerbangan lain yang turut menawarkan pilihan perjalanan ke destinasi yang sama.

Pendekatan harga tetap

Dalam keadaan ini, harga tiket bukan sahaja perlu menarik malah perlu memberikan sumbangan kepada pendapatan syarikat. Oleh itu, AirBorneo memilih pendekatan harga tetap bagi memberikan kepastian kepada penumpang.

Melalui pendekatan ini, penumpang dapat merancang perjalanan lebih awal tanpa terlalu bimbang harga tiket akan meningkat secara mendadak apabila tarikh penerbangan semakin dekat. Perkara ini tentu memberikan kelegaan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah apabila permintaan biasanya lebih tinggi.

Harga yang ditawarkan pula bukan sekadar untuk masuk dan duduk di dalam pesawat. Sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, AirBorneo memasukkan kemudahan seperti pemilihan tempat duduk, hidangan dan bagasi ke dalam tambang.

Dengan itu, jumlah yang perlu dibayar lebih mudah dijangka sejak awal. Bagi keluarga atau penumpang yang membawa banyak bagasi, pendekatan ini mungkin lebih mudah berbanding perlu menambah bayaran bagi setiap kemudahan secara berasingan.

Bagaimanapun, harga tetap turut membawa risiko kepada syarikat. Kos bahan api, penyelenggaraan dan perbelanjaan operasi boleh meningkat sedangkan harga tiket tidak boleh diselaraskan dengan bebas mengikut perubahan permintaan.

Ketika jumlah penumpang rendah, harga tersebut mungkin kelihatan kurang menarik berbanding promosi yang ditawarkan oleh pesaing. Jika banyak tempat duduk tidak terjual, hasil yang diterima juga berkurang sedangkan sebahagian besar kos penerbangan masih perlu ditanggung.

Ketika permintaan tinggi pula, syarikat penerbangan yang menggunakan harga dinamik boleh menaikkan tambang untuk memperoleh pendapatan lebih besar. AirBorneo mungkin tidak dapat menggunakan peluang yang sama sepenuhnya apabila memilih untuk mengekalkan harga pada tahap tertentu.

Pendekatan ini memang memberikan kepastian kepada penumpang. Namun, syarikat perlu mencari kaedah lain untuk memastikan hasil yang diterima masih mampu menampung operasi, terutama apabila kos terus meningkat.

Matlamat utama AirBorneo bukan hanya untuk bersaing dari segi harga atau mengejar keuntungan semata-mata. Penubuhannya juga bertujuan memperkukuh keterhubungan Sarawak dengan destinasi lain supaya orang ramai lebih mudah bergerak untuk bekerja, belajar dan bertemu keluarga.

Rangkaian penerbangan yang lebih terancang turut membantu membawa masuk pelancong, pelabur dan tenaga profesional yang diperlukan di Sarawak.

Keperluan wilayah

Melalui AirBorneo, Sarawak mempunyai ruang yang lebih besar untuk menentukan laluan, kekerapan dan waktu penerbangan berdasarkan keperluan wilayah ini sendiri.

Keputusan tersebut tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pertimbangan komersial syarikat penerbangan lain.

Ada laluan yang mungkin kurang menarik dari sudut keuntungan, namun tetap penting kerana menyokong pergerakan rakyat dan perkembangan ekonomi Sarawak.

Dalam keadaan tertentu, nilai sesuatu laluan tidak boleh diukur berdasarkan jumlah keuntungan daripada jualan tiket semata-mata.

Manfaat daripada keterhubungan ini juga tidak semuanya masuk secara langsung ke dalam akaun AirBorneo.

Penumpang yang datang ke Sarawak akan menggunakan hotel, restoran, pengangkutan tempatan dan pelbagai perkhidmatan lain.

Walaupun pulangannya tidak diterima sepenuhnya oleh syarikat penerbangan, pergerakan penumpang tersebut tetap merancakkan kegiatan ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan wilayah secara keseluruhan.

Namun, manfaat yang lebih luas kepada Sarawak tidak bermakna AirBorneo boleh mengabaikan keperluan untuk menjana keuntungan yang munasabah.

Syarikat tetap memerlukan kedudukan kewangan yang kukuh untuk menampung operasi, memperbaharui armada dan menghadapi kenaikan kos pada masa hadapan.

Kebergantungan kepada subsidi dalam jangka panjang boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan. Wang yang digunakan untuk menampung kerugian secara berterusan mungkin tidak dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan lain yang turut penting kepada masyarakat.

Oleh itu, RAS boleh terus disokong melalui kerangka Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) kerana perkhidmatan tersebut memenuhi tanggungjawab sosial.

Laluan pesawat jet pula perlu diurus dengan lebih cekap supaya mampu menjana pendapatan dan membantu mengukuhkan kedudukan kewangan AirBorneo.

Keterhubungan tetap menjadi matlamat utama. Namun, keuntungan yang munasabah diperlukan supaya perkhidmatan yang dibina hari ini dapat terus dipertahankan dalam jangka panjang.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Merdeka bukan sekadar mengibar bendera

SETIAP kali menjelang 31 Ogos, kita kembali berbicara tentang kemerdekaan, patriotisme dan pengorbanan generasi terdahulu. Bendera dikibarkan, lagu kebangsaan berkumandang