Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pendedahan melampau terhadap gajet, kurang aktiviti luar rumah faktor masalah rabun
  • NASIONAL

Pendedahan melampau terhadap gajet, kurang aktiviti luar rumah faktor masalah rabun

Utusan Sarawak 7 hours ago
KETUA Clinical Research Centre Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Datuk Philip Rajan Devesahayam (dua, kanan) melihat alat ujian rabun mata (Autoref) ketika hadir Majlis Pelancaran Pemeriksaan Mata untuk Pelajar-Pelajar Sekolah Tahun 2026 Anjuran Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak di SJK (C) Jelapang hari ini. Turut bersama Pengerusi Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak, Nachemuthu Karappannan (dua kiri). Foto Bernama

IPOH: Pendedahan melampau terhadap penggunaan gajet serta kurangnya aktiviti di luar rumah dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan masalah rabun dalam kalangan murid sekolah, khususnya di Daerah Kinta.

Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Perak Datuk Dr D. Philip Rajan berkata kedua-dua faktor itu dikesan menerusi kajian lapangan yang dijalankan pada 2023 di enam sekolah, dengan hampir 95 peratus daripada 667 murid mengalami masalah rabun.

“Kita lakukan kajian lapangan ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Buntong, SK Guru Kalgidhar, SK Silibin, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perak St. Philomena Convent, SJKT Perak Sangeetha Sabah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Guntong.

“Daripada saringan yang dijalankan, kita mendapati sebahagian besar murid mengalami masalah penglihatan sama ada rabun jauh atau rabun dekat, yang secara tidak langsung boleh menjejaskan tumpuan mereka ketika proses pembelajaran berlangsung,” katanya.

KAKITANGAN Vista Eye Specialist, Asyrani Mahfuzah Roslan membuat pemeriksaan mata murid menggunakan alat ujian penglihatan mata jarak jauh pada Majlis Pelancaran Pemeriksaan Mata untuk Pelajar-Pelajar Sekolah Tahun 2026 Anjuran Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak di SJK (C) Jelapang hari ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pemeriksaan Mata Untuk Pelajar-Pelajar Sekolah Negeri Perak di SJKC Jelapang di sini hari ini.

Philip Rajan yang juga Ketua Jabatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun berkata meskipun sebahagian kes tidak berada pada tahap serius, masalah berkenaan tetap memberi kesan kepada tahap tumpuan serta pencapaian akademik murid di dalam bilik darjah.

“Adakalanya murid yang berdepan masalah penglihatan sering disalah tafsir sebagai tidak berminat untuk belajar atau berkelakuan nakal, sedangkan hakikatnya mereka mengalami kesukaran untuk melihat dengan jelas,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan saringan awal amat penting bagi memastikan masalah dapat dikenal pasti dan ditangani segera, termasuk melalui pemakaian cermin mata yang sesuai.

Mengenai program tersebut, beliau berkata ia merupakan inisiatif yang digerakkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Persatuan Kebajikan Amal Makmur Negeri Perak (Perkam) dan beberapa pengamal optometri swasta, bertujuan memperluas akses saringan penglihatan kepada murid sekolah rendah.

Philip Rajan berkata menerusi inisiatif itu murid yang dikenal pasti mempunyai masalah penglihatan bukan sahaja disaring, malah turut diberikan cermin mata secara percuma bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih baik.

“Program yang dijalankan di SJKC Jelapang ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan, sebaliknya digerakkan sepenuhnya melalui sokongan sektor swasta yang komited dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bekerja dari rumah: Beri penjimatan atau kerugian kepada pekerja?
Next: Ribut petir, hujan lebat dijangka landa hampir semua negeri hingga 7.00 malam ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.