Pendedahan di Riau tingkat keyakinan atlet para renang Sarawak hadapi Para SUKMA

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pendedahan di Kejohanan Renang Terbuka Riau, Indonesia baru-baru ini menjadi suntikan semangat kepada atlet para renang Sarawak dalam memperkemaskan persiapan menjelang temasya Para SUKMA Selangor 2026.

Presiden Persatuan Para Renang Negeri Sarawak, Sarini @ Syarbini Kedri berkata, penyertaan dalam kejohanan antarabangsa itu memberi peluang kepada atlet menguji kemampuan, selain membina keyakinan untuk bersaing di pentas yang lebih tinggi.

“Kontinjen Sarawak yang terdiri daripada 40 anggota merangkumi atlet, jurulatih, penggerak dan pegawai telah beraksi di Pusat Akuatik Rumbai, Pekanbaru, Riau pada 20 hingga 21 Jun lalu.

“Pengalaman beraksi di luar negara amat penting bagi membiasakan atlet dengan suasana pertandingan sebenar, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka menjelang Para SUKMA nanti.

“Pada masa yang sama, penyertaan ini turut membuktikan bahawa atlet para mampu bersaing seperti atlet lain walaupun berdepan kekangan dari segi fizikal, penglihatan mahupun intelektual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sarini, latihan berterusan yang dijalankan di Kuching, Sibu dan Miri sejak Januari tahun lalu berjaya memastikan atlet berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Kem latihan berpusat turut dijadualkan berlangsung pada awal Ogos di Pusat Akuatik Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, manakala atlet yang mewakili negara kini meneruskan latihan di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Selain itu, pihaknya kekal optimis dalam menghadapi Para SUKMA Selangor meskipun berdepan beberapa kekangan, termasuk isu klasifikasi serta had umur kelayakan yang diturunkan kepada 40 tahun, menyebabkan beberapa atlet berpotensi tidak dapat diturunkan.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan persediaan keseluruhan pasukan kerana pihak pengurusan sedang menyusun strategi terbaik bagi memastikan setiap atlet diberi peluang beraksi mengikut kategori masing-masing.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh atlet sepanjang kejohanan di Riau, selain menyifatkan penyertaan itu sebagai medan terbaik untuk menilai tahap kesiapsiagaan pasukan.

Mengulas sasaran pada Para SUKMA nanti, Sarini berkata beliau tidak mahu mendahului pengumuman rasmi kerajaan negeri, namun optimis atlet elit negara seperti Muhammad Adip Iqbal, Fraiddden Dawan dan Rusdianto Rusmadi, selain atlet elit Sarawak, Galang Jabai, berpotensi menyumbang pingat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak atas sokongan dalam menjayakan Program Pendedahan Atlet Para Renang Negeri Sarawak ke Riau, selain berterima kasih kepada Persatuan Renang Riau Sumatera atas layanan serta kerjasama yang diberikan sepanjang kejohanan tersebut.