Pendedahan awal keselamatan kebakaran perkasa kesiapsiagaan murid

Facebook
WhatsApp
Pendedahan awal keselamatan kebakaran perkasa kesiapsiagaan murid

BINTANGOR: Pendedahan mengenai keselamatan kebakaran sejak di bangku sekolah penting bagi membentuk pengetahuan dan kesiapsiagaan murid untuk bertindak dengan betul sekiranya berdepan situasi kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pendidikan keselamatan bukan sahaja memberi pengetahuan mengenai bahaya kebakaran, malah membantu murid memahami langkah pencegahan serta tindakan awal yang perlu dilakukan.

Katanya, usaha tersebut dilaksanakan menerusi ceramah kesedaran keselamatan kebakaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Chiang, hari ini.

“Pendedahan seperti ini penting supaya murid mempunyai pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran dan mengetahui tindakan yang betul sekiranya berlaku kecemasan.

“Pengetahuan yang diperoleh juga boleh dikongsi bersama keluarga, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan kebakaran dalam komuniti,” katanya ketika dihubungi.

Program yang bermula dari 8.30 hingga 10.30 pagi tersebut melibatkan seramai 45 peserta dengan tujuh anggota bomba dari BBP Bintangor terlibat dalam pelaksanaannya.

Katanya, antara pengisian program ialah ceramah kesedaran keselamatan kebakaran dan penerangan mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api.

“Peserta turut diberikan pendedahan secara praktikal menerusi demonstrasi kebakaran dapur bagi meningkatkan kefahaman mengenai risiko kebakaran dan tindakan yang sesuai ketika berhadapan kejadian sedemikian.

“Demonstrasi secara praktikal membolehkan peserta melihat sendiri bagaimana sesuatu situasi kebakaran perlu dikendalikan dengan selamat dan tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri,” katanya.

Selain itu, pameran peralatan bomba turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mengenali peralatan yang digunakan anggota bomba ketika menjalankan operasi kecemasan.

Beliau berharap program pendidikan keselamatan ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid serta membudayakan aspek pencegahan kebakaran dalam kehidupan seharian.

Oleh Earl Anek