
KUCHING: Sarawak terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan apabila pendapatan negeri bagi 2024 mencapai RM14.2 bilion, hampir dua kali ganda berbanding ketika Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mula memegang jawatan sebagai Ketua Menteri dan Premier tujuh tahun lalu.
Premier Sarawak itu menegaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada dasar ekonomi strategik yang dilaksanakan kerajaan negeri, yang bertumpu kepada pengukuhan sumber pendapatan dan pembangunan infrastruktur.
“Kestabilan yang kita nikmati hari ini memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar ekonomi yang mampan, sekali gus meningkatkan hasil negeri.
“Kejayaan ini membuktikan keupayaan Sarawak dalam mengurus sumbernya dengan baik serta merangka strategi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persekutuan itu.
Beliau berkata, peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat Cina serta memastikan pembangunan sosial dan ekonomi yang lebih seimbang di Sarawak.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA), Datuk Richard Wee, sebelum ini mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan sokongan terhadap pelbagai aktiviti persekutuan di Kuching, Samarahan, dan Serian. Abang Johari dalam ucapannya menyatakan bahawa permohonan itu wajar dipertimbangkan kerana SFCA memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kita harus memastikan semua komuniti dapat menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama. Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang mempromosikan perpaduan dan kemajuan bersama,” ujarnya.
Oleh Amanda L.