
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Notis penarikan balik rayuan yang dikemukakan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Dis, menyatakan mereka tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan tersebut.
“Tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 19 Dis 2024, pendakwa raya telah memberi notis untuk merayu bertarikh 20 Dis 2024. Pendakwa raya memberi notis untuk tidak berhasrat meneruskan rayuan tersebut,” menurut notis itu.
Berdasarkan surat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, pengurusan kes yang telah ditetapkan pada 22 Dis ini, dilapangkan dan rayuan tersebut terbatal sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 73, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menyatakan keputusan Hakim Muniandy terhadap pembebasan anak guamnya adalah wajar dan adil.
“Kami berasa lega kerana beliau (Rosmah) telah dibenarkan bebas sepenuhnya daripada pertuduhan itu. Keseluruhan proses ini telah menjadi ujian berat bagi beliau dan kami berbesar hati melihat keadilan akhirnya ditegakkan dan kes telah ditutup secara muktamad,” kata peguam itu.
Pada 19 Dis tahun lepas, Hakim Muniandy melepas dan membebaskan Rosmah daripada pertuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tersebut tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.
Rosmah, 74, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada September 2023 dan perbicaraan bermula 24 Ogos 2023, dengan dua saksi telah memberi keterangan di mahkamah.
Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram tersebut atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan.
Pertuduhan berkaitan pengelakan cukai pula dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mewajibkan beliau mengemukakan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April bagi tahun 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018, tanpa alasan munasabah, melanggar Seksyen 112 akta tersebut.
Selain kes ini, Rosmah juga sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, bagi kes rasuah melibatkan projek sekolah luar bandar solar hibrid 369 sekolah.
Tarikh pendengaran rayuan itu di Mahkamah Rayuan belum ditetapkan.
-Bernama