Pendaki wanita hilang ketika turun dari puncak Taman Negara Lambir

Facebook
WhatsApp
DILAPORKAN HILANG...Veronique Joseph dilaporkan hilang selepas terpisah daripada lima rakannya ketika turun dari puncak Bukit Taman Negara Lambir, di Miri, petang semalam.

MIRI: Seorang wanita dilaporkan hilang selepas terpisah daripada lima rakannya ketika turun dari puncak Bukit Taman Negara Lambir, di sini, petang semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), mangsa, Veronique Joseph berusia 31 tahun bersama lima rakannya memulakan aktiviti mendaki pada 9.00 pagi sebelum keenam-enam mereka tiba di puncak sekitar 12.00 tengah hari.

“Pada 1.00 petang, kesemua pendaki mula bergerak turun sebelum mangsa yang berada di hadapan bergerak lebih laju dan terpisah daripada rakan-rakannya sekitar 1.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PGO berkata, rakan-rakan mangsa tiba di ‘checkpoint’ permulaan sekitar 5.00 petang, namun mendapati mangsa masih belum tiba.

DITANGGUH…Tindakan  mencari dan menyelamat mangsa tidak dapat dibuat kerana keadaan sudah gelap dan lokasi sebenar mangsa tidak diketahui.Operasi SAR disambung hari ini.

“Usaha mencari dan menghubungi mangsa melalui telefon juga gagal sebelum rakan-rakan memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Ranger Taman Negara Lambir,” katanya.

Menurutnya, pihak ranger kemudian menghubungi bomba sekitar 7.20 malam bagi mendapatkan bantuan.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri tiba di lokasi pada 8.35 malam untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak ranger.

“Bagaimanapun, tindakan SAR tidak dapat dibuat kerana keadaan sudah gelap dan lokasi sebenar mangsa tidak diketahui,” katanya.

PGO berkata, lima anggota PDRM turut tiba di lokasi sekitar 11.30 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 11.53 malam dan akan disambung semula hari ini.

Sehingga operasi ditangguhkan, mangsa masih belum ditemukan.

Oleh Liong Chai Ling