MIRI: Selepas lebih 18 jam terpisah daripada kumpulannya, seorang pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Taman Negara Lambir di sini semalam, ditemukan selamat pagi tadi.
Mangsa yang berusia 31 tahun, ditemukan pada 11.17 pagi selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menjejaki lokasi yang dikongsikan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, mangsa bersama lima rakannya memasuki kawasan hutan Taman Negara Lambir kira-kira 8.40 pagi semalam untuk mendaki.
Bagaimanapun, ketika kumpulan itu keluar dari hutan kira-kira 4.30 petang, rakan-rakannya menyedari mangsa tidak bersama mereka sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Operasi SAR hari kedua bermula kira-kira 5.30 pagi tadi selepas mangsa berjaya memberikan maklumat mengenai kedudukannya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Pasukan SAR tiba di Taman Negara Lambir kira-kira 6.00 pagi sebelum taklimat operasi diberikan pada 7.40 pagi.
“Kira-kira 8.00 pagi, pasukan SAR bergerak ke lokasi yang dipercayai menjadi kedudukan terakhir mangsa sebelum memasuki kawasan hutan pada 9.00 pagi,” katanya.
Menurut PGO Sarawak, mangsa masih dapat dihubungi menerusi WhatsApp dan memaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan ringan selepas tergelincir.
“Pada 10.43 pagi, pasukan SAR tiba di lokasi yang diberikan mangsa sebelum pencarian dilakukan dalam radius 500 meter.
“Mangsa ditemukan kira-kira 34 minit kemudian sebelum dibawa keluar dari hutan oleh pasukan SAR pada 12.03 tengah hari,” katanya.
Veronique selamat tiba di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) kira-kira 12.45 tengah hari sebelum diserahkan kepada majikan dan keluarganya untuk dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Operasi SAR ditamatkan pada 1.00 tengah hari.
Oleh Liong Chai Ling





