
BAU: Seorang pendaki berjaya dibawa turun dengan selamat selepas mengalami keletihan ketika mendaki Gunung Singai, tengah hari semalam.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 12.23 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi.
Menurut kenyataan, pasukan bomba tiba di pintu masuk gunung kira-kira 12.45 tengah hari sebelum segera memulakan operasi pendakian bagi menyelamatkan mangsa.
“Mangsa dilaporkan masih mampu berjalan dan berehat di kawasan gereja sebelum ditemui oleh pasukan operasi di aras 13, iaitu di Pusat Ziarah Memorial Katolik,” katanya.
Pasukan bomba kemudian membantu mangsa dengan memberikan rawatan awal termasuk membenarkan mangsa berehat, memberi minuman bertenaga serta memberi rawatan kepada mangsa.
Mangsa seterusnya berjaya dibantu turun secara perlahan oleh dua rakannya hingga ke pintu masuk gunung dalam keadaan selamat.
Turut berada di lokasi kejadian ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Oleh Shahrul Qaizat