
TAIPEI, Taiwan: Seorang pendaki dari Amerika Syarikat mencipta sejarah apabila berjaya menawan bangunan tertinggi di Taiwan, Taipei 101 semalam, sekali gus menjadi individu pertama memanjat bangunan itu secara solo bebas tanpa menggunakan tali, abah-abah atau jaring keselamatan.
Ratusan penonton berhimpun di pekarangan menara setinggi 101 tingkat itu bagi menyaksikan Alex Honnold, 40, melaksanakan aksi berani berkenaan yang turut disiarkan secara langsung menerusi Netflix.
Honnold mengambil masa sekitar satu jam setengah untuk memanjat setinggi 1,667 kaki (508 meter) sebelum turun semula menggunakan teknik rappelling dan disambut oleh isterinya, Sanni McCandless Honnold.
Dalam sidang media selepas pendakian tersebut, Honnold berkata masa adalah terhad dan setiap individu perlu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.
“Jika seseorang bekerja keras, mereka mampu melakukan perkara yang sukar,” katanya.
Honnold sebelum ini telah menakluki beberapa permukaan batu paling mencabar di dunia dan meraih perhatian global pada 2017 selepas berjaya memanjat formasi batu granit terkenal Yosemite, El Capitan, yang dianggap antara cabaran teknikal tertinggi dalam dunia pendakian.


Menurutnya, memanjat Taipei 101 merupakan impian yang telah lama disimpan, namun permintaan awalnya untuk melaksanakan projek tersebut pernah ditolak, tanpa memperincikan sebab penolakan berkenaan.
“Apabila projek ini akhirnya dapat direalisasikan lebih sedekad kemudian, ia benar-benar luar biasa. Ia satu peluang yang amat bermakna,” katanya.
Honnold merupakan individu pertama melakukan pendakian solo bebas ke atas Taipei 101 tanpa sebarang peralatan keselamatan, namun bukan orang pertama yang pernah mencapai puncak bangunan itu.
Pada 2004, Alain Robert yang digelar “Spiderman Perancis” menjadi individu pertama memanjat bangunan berkenaan, namun menggunakan tali keselamatan berikutan keadaan cuaca hujan ketika itu.
Aksi bersejarah tersebut menarik perhatian ratusan penonton, dengan Richard Bode, 34, menyifatkannya sebagai “pengalaman sekali seumur hidup”.
Seorang lagi penonton, Benson, 24, menyifatkan Honnold sebagai “amat berani”, manakala Lin Chia-jou, 54, mengakui aksi itu “menakutkan” untuk ditonton.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, turut mengucapkan tahniah kepada Honnold menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad dan menyifatkan cabaran itu sebagai “amat menyentuh perasaan”.
“Pendakian itu penuh ketegangan dan membuatkan jantung berdegup kencang,” katanya.
Acara bertajuk Skyscraper Live itu pada asalnya dijadualkan disiarkan di Netflix pada Sabtu (0100 GMT), namun ditangguhkan susulan cuaca buruk.


Berpakaian kemeja-T merah dan kasut pendakian khas berwarna kuning, Honnold memanjat bahagian tenggara bangunan kaca dan keluli itu dengan pantas semalam apabila keadaan cuaca mengizinkan.
Pada satu ketika, beliau berhenti di sebuah platform di pertengahan bangunan untuk melambai ke arah peminat dan penonton yang merakam gambar.
Penonton di dalam bangunan turut kelihatan terpegun dan mengetuk cermin ketika Honnold melepasi dek pemerhatian tertutup di tingkat 89.
Pengerusi Taipei 101, Janet Chia, berkata dalam satu hantaran di Threads pada Sabtu bahawa beliau terharu apabila mengetahui peminat sanggup datang dari Singapura, Hong Kong dan selatan Taiwan untuk menyaksikan pendakian tersebut, sambil memohon maaf atas kelewatan acara berkenaan.— AFP