
SARIKEI: Penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Manis yang belum memiliki lesen motosikal kini berpeluang menyertai Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 yang menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta.
Menurut Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis, program tersebut dilaksanakan bagi membantu golongan yang layak mendapatkan lesen memandu motosikal secara sah, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna.
Program tersebut menawarkan lesen kelas B2 dengan bayaran penyertaan sebanyak RM250 seorang dan penyertaan adalah terhad.
Antara syarat kelayakan yang ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur 16 tahun ke atas iaitu genap 16 tahun sebelum atau pada 10 Julai 2026, belum memiliki lesen memandu serta bebas daripada saman dan senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keutamaan penyertaan akan diberikan kepada penduduk yang menetap di kawasan Parlimen Tanjong Manis.
Pemohon dikehendaki mengemukakan borang penyertaan yang lengkap, dua salinan kad pengenalan dan sekeping gambar berukuran lesen berlatar belakang putih.
Tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 3 Julai 2026, manakala ceramah dan ujian bertulis akan diadakan pada 11 Julai 2026.
Sementara itu, latihan dan ujian praktikal dijadualkan pada 22 Ogos 2026 sebelum majlis penutupan program diadakan pada 5 September 2026.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang pendaftaran secara percuma di Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjong Manis atau di Institut Memandu Sarikei (IMS).
Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis turut menggalakkan orang ramai menyebarkan tentang program ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak memandangkan penyertaan adalah terhad dan permohonan akan ditutup pada 3 Julai ini.
Oleh Earl Anek