

KABONG: Isu pencegahan jenayah bukan sekadar tugas pihak berkuasa, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie menegaskan bahawa jenayah bukan sahaja menjejaskan mangsa secara langsung, malah memberi impak besar kepada rasa selamat dan keharmonian komuniti setempat di daerah ini.
“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat, mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap prihatin terhadap persekitaran amatlah penting. Pendekatan pencegahan awal adalah jauh lebih berkesan berbanding tindakan penguatkuasaan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Libat Urus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong dan pemimpin masyarakat DUN Kabong, hari ini.
Dalam ucapannya, DSP Mathew turut menyentuh mengenai isu pergerakan jemaah tabligh dari luar negara yang kini menjadi antara keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menegaskan sebarang aktiviti tanpa kelulusan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dianggap melanggar peraturan dan boleh menggugat keharmonian awam.
”Isu ini perlu ditangani secara berhemah tetapi tegas bagi mengelakkan kegusaran awam. Ketenteraman adalah asas kepada pembangunan sosial kita,” tambahnya.
Menyentuh mengenai masalah penyalahgunaan dadah yang semakin serius, beliau menyifatkan dadah sebagai punca utama kepada pelbagai masalah sosial termasuk kecurian dan keruntuhan institusi keluarga.
Justeru, beliau menggesa peranan ibu bapa, sekolah, dan pemimpin masyarakat untuk bersama-sama memutuskan rantaian penagihan ini melalui sokongan komuniti yang padu.
Selain isu keselamatan fizikal, DSP Mathew turut memberi amaran mengenai ancaman jenayah penipuan atau scammer dalam era digital. Beliau menggesa masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan dan segera melaporkan sebarang cubaan penipuan.
Beliau juga mengingatkan para majikan agar tidak mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah demi keuntungan jangka pendek, kerana ia berpotensi menimbulkan masalah sosial dan keselamatan.
Dalam pada itu, pihak polis juga sedang memantau penubuhan kelab-kelab silat yang dijalankan tanpa kelulusan bagi memastikan tiada aktiviti yang disalahgunakan sehingga mengancam ketenteraman awam.
DSP Mathew merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan berharap platform perbincangan dua hala tersebut dapat memperkukuhkan komitmen bersama.
”Saya ingin menegaskan bahawa keselamatan tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat antara PDRM dan masyarakat Kabong. Jadilah mata dan telinga kepada kami.
”Sesuai dengan motto kami ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, marilah kita bersama-sama menjadikan komuniti kita lebih selamat, aman, dan sejahtera,” ujarnya.
Turut hadir menyerikan majlis, ADUN Kabong Dato Mohd Chee Kadir, isteri ADUN Kabong Datin Meryani Yassin, wakil Pegawai Daerah Kabong Ahmad Sabri Saleh, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller Nuas, barisan pegawai kanan polis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman