JAKARTA: Angka kematian akibat tanah runtuh di lombong haram di barat Indonesia hari ini meningkat kepada 13 orang, kata seorang pegawai.
Menurut pegawai itu lagi, usaha pencarian mangsa juga ditamatkan berikutan jumlah mangsa yang dilaporkan hilang atau maut sudah ditemukan.
Tanah runtuh yang disebabkan hujan lebat di tapak perlombongan haram terpencil di wilayah Sumatera Barat di pulau Sumatera pada petang Khamis.
Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki selama berjam-jam dari kampung terdekat untuk sampai ke kawasan itu.
Sementara itu, Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana wilayah, Ilham Wahab, berkata seramai 13 orang ditemui mati dan 12 lagi cedera.
Katanya, Ia adalah tambahan dua korban terkini yang ditemui pasukan penyelamat.
“Memandangkan kesemua 25 mangsa yang dilaporkan ditemui dan dipindahkan, kami mengambil keputusan untuk menutup operasi mencari dan menyelamat,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun beliau berkata, pos awam akan terus dibuka untuk tempoh tujuh hari lagi bagi membolehkan keluarga melaporkan mana-mana saudara yang hilang kepada pihak berkuasa.
Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Asia Tenggara itu yang kaya dengan mineral, di mana tapak terbiar menarik perhatian penduduk tempatan yang memburu sisa bijih emas tanpa peralatan keselamatan yang sesuai.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh ketika musim tengkujuh yang biasanya antara November dan April, tetapi beberapa bencana yang disebabkan oleh cuaca buruk berlaku di luar musim itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP