
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) meraikan pencapaian sepanjang 2025 serta menghargai sumbangan warga majlis menerusi Makan Malam Tahunan MBKS 2025, yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, majlis tersebut menjadi ruang refleksi terhadap peranan dan tanggungjawab MBKS sebagai sebuah pasukan yang komited membangunkan Kuching Selatan demi kesejahteraan rakyat.
“Tahun 2025 membawa pengiktirafan yang membanggakan dan mengingatkan kita mengapa kita berkhidmat, dan setiap pencapaian ini adalah hasil kerja berpasukan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tersebut.
Menurut beliau, Kuching menerima pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan antara 13 destinasi persaraan terbaik dunia dan lima teratas di Asia berdasarkan penilaian International Living, sekali gus meningkatkan minat pelabur dan pesara asing, khususnya dari Singapura menerusi program Sarawak Malaysia Rumah Kedua Ku.
“Ini membuktikan Kuching diiktiraf sebagai bandar yang stabil, selamat dan berdaya huni di peringkat global,” katanya.

Di peringkat kebangsaan, MBKS menerima dua Anugerah Sebutan Khas Anugerah MyPLACE 2025 bagi projek Taman Kuching dan pembaharuan Taman Kenyalang, selain Anugerah Pembangunan Lestari JCI di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 12 menerusi Program Bank Sampah.
MBKS turut mencipta sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Sarawak dan Borneo yang diiktiraf Tabung Kanak Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu sebagai Bandar Calon di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak Kanak, selain mencatat dua rekod kebangsaan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan Zumba terbesar dan Zumba Dalam Gelap terbesar.
Di peringkat negeri, MBKS menerima Anugerah PBT Mesra Orang Kurang Upaya bagi AUSOME PARK, memperoleh penarafan lima bintang laman sesawang sempena Minggu Keselamatan Siber Sarawak, serta meraih pengiktirafan dalam Pameran PBT Innowaste dan perarakan Maulidur Rasul kategori Badan Berkanun.
Dato Wee menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MBKS di semua peringkat, termasuk kakitangan sokongan, penguat kuasa, pegawai teknikal serta kumpulan pengurusan dan profesional atas dedikasi mereka.
Beliau turut menghargai kepimpinan ahli majlis dan pasukan pengurusan, serta kehadiran dua bekas Datuk Bandar Kuching, Datuk Song Swee Guan dan Dato James Chan, yang disifatkan sebagai kesinambungan legasi kepimpinan MBKS.
Mengulas hala tuju ke hadapan, beliau berkata tempoh menuju 2030 merupakan fasa kritikal dan MBKS perlu terus memperkukuh perkhidmatan perbandaran, inisiatif bandar pintar, agenda keterangkuman serta pembangunan bakat dalaman.
“Kuching sedang bangkit. Sarawak sedang bangkit. Dan MBKS mesti bangkit bersama,” katanya.
Oleh Adele Rissa