
BETONG: Kecemerlangan pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencerminkan kekuatan usaha, ketekunan, disiplin diri dan semangat juang yang tinggi wajar dijadikan inspirasi.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata pencapaian luar biasa ini wajar dijadikan contoh dalam membina sistem pendidikan yang seimbang dan menyeluruh.
Beliau menekankan bahawa dalam era Revolusi Industri 4.0, pendidikan tidak boleh lagi bersifat konvensional semata-mata.
“Pendekatan pendidikan perlu bersifat holistik, merangkumi bukan sahaja penguasaan ilmu tetapi juga pembentukan sahsiah dan kemahiran digital. MRSM Betong telah berjaya menampulkan contoh terbaik dalam hal ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi 2025 MRSM Betong di Dewan Gemilang MRSM Betong, dekat sini hari ini.
Dr Richard berkata kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan ketabahan para guru yang terus komited mendidik walaupun berdepan pelbagai cabaran serta sumbangan para pendidik amat dihargai kerana mereka menjadi tonggak kepada pembentukan masa depan negara.
Beliau turut mengiktiraf peranan penting ibu bapa sebagai pendidik utama dalam menyokong perjalanan pendidikan anak-anak sejak dari rumah hingga ke dewan peperiksaan. Gabungan sokongan keluarga dan dedikasi guru memberi impak besar terhadap kejayaan pelajar.

Dr Richard turut menitipkan pesanan kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Peperiksaan MRSM (SPMRSM) agar terus melangkah dengan penuh tekad dan semangat.
“Dayung sudah di tangan, teruskan mendayung dengan tekad dan keazaman. Kejayaan tidak datang secara mudah, ia milik mereka yang gigih berusaha,” ujarnya.
Beliau berharap kecemerlangan ini akan menjadi pendorong semangat kepada semua pelajar agar terus berusaha, dan menjadikan pendidikan sebagai landasan kukuh untuk membina masa depan yang gemilang.
“Semoga MRSM Betong terus melakar kecemerlangan sebagai institusi pendidikan unggul luar bandar di Sarawak,” tambahnya.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Badan Muafakat MRSM Betong, sebagai tanda sokongan berterusan terhadap inisiatif pendidikan dan pembangunan pelajar sekali gus dimanfaatkan untuk aktiviti pelajar dan kebajikan komuniti sekolah.
Oleh Adi Safarman