







DARO: Penantian hampir 15 tahun penduduk Pulau Bruit untuk memiliki rumah kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan melalui Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) Semop yang membawa manfaat besar kepada komuniti setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program ini amat bermakna khususnya kepada golongan nelayan yang sebelum ini banyak bergantung kepada tempat tinggal keluarga.
“Mereka tentunya mengharapkan rumah sendiri di kawasan mencari rezeki kerana kebanyakkannya terdiri daripada nelayan sepenuh masa.
“Alhamdulillah, kawasan PSN ini masih dekat untuk mereka mencari rezeki,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah tersebut kepada seramai 233 penerima di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, penerima hanya perlu membuat pinjaman sebanyak RM35,000 daripada kos keseluruhan RM75,000, manakala bakinya adalah subsidi dari kerajaan.
Abdullah berkata kewujudan kawasan penempatan baharu ini turut merangsang pelaksanaan beberapa projek pembangunan lain seperti Pasar Tani, Medan Selera dan Dewan Masyarakat bagi kemudahan penduduk.
Selain itu, menurut beliau, jalan penghubung antara kawasan penempatan dan sekolah turut dibina untuk memastikan keselamatan murid.
Jelas beliau, pembangunan PSN Semop juga adalah permulaan untuk membina sebuah pekan kecil di Pulau Bruit yang selama ini amat memerlukan pusat ekonomi.
“Kebanyakan penduduk adalah nelayan sepenuh masa dan hasil utama mereka memang terkenal di seluruh Sarawak dengan ikan lumik salai, udang kering dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata kawasan tersebut turut mempunyai potensi pertanian yang besar, dengan 500 hingga 600 hektar dikenal pasti sesuai untuk penanaman padi.- UKAS