
KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Nicholas Wung Duk Ying, mengkritik keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan e-Invoisbagi perniagaan dengan perolehan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, sambil menyifatkannya sebagai beban kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata ramai peniaga telah membelanjakan wang untuk perisian dan latihan selepas dimaklumkan bahawa dasar itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari.
Ada yang telah membayar deposit sehingga RM3,000 dan kini berada dalam keadaan tidak pasti berikutan perubahan dasar yang kerap.
Menurut Wung, keputusan tidak konsisten ini menjejaskan aliran tunai PKS dan keyakinan perniagaan.
Beliau turut berkata banyak janji Kerajaan Perpaduan sejak PRU 2022 masih belum ditunaikan walaupun pelbagai pelan reformasi diumumkan.
Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, ekonomi yang perlahan dan hutang negara melebihi RM1.3 trilion, beliau mempersoalkan hala tuju kerajaan.
Wung menggesa kerajaan agar lebih bertanggungjawab dan konsisten dalam merangka dasar demi mengurangkan beban ke atas perniagaan dan rakyat.
Oleh Connie Chieng