Jarang orang membaca novel sekali gus, jadi penanda buku memang amat diperlukan bagi menanda bahagian yang sudah dibaca dan bakal dibaca.
Walaupun ramai yang tidak peduli dengan apa yang boleh dijadikan penanda buku ini tetapi bagi pembuat penanda buku kreatif, Teresa Nawie Rowland Reggie, 36, karya yang mempunyai sifat halus serta bernilai tinggi menjadi pilihannya.
Guru di di Sekolah Kebangsaan Benawa, Marudi dan berasal dari Betong tetapi kini menetap di Miri, memang aktif di dalam penghasilan penanda buku kreatif ini.
Semasa ditemu bual Stail, Teresa berkata beliau telah berjinak-jinak di dalam bidang kraf ini sejak empat tahun lalu dan bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan hasil kraf adalah kulit kayu, kertas lukisan dan kanvas.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) FSSR Uitm Shah Ala mini berkata, untuk penghasilan kraf penanda buku dan lukisan atas kulit kayu, beliau biasanya menggunakan warna akrilik, marker pen, artline pen khas untuk lukisan dan marker fabric.
Katanya kulit kayu mestilah dipilih mengikut kualiti agar mendapat hasil yang memuaskan ketika melakar atau melukis di atasnya.
“ Semakin tebal dan rata kulit kayu, maka semakin berkualiti dan tinggi harganya,” kata Teresa.
Dalam tempoh sebulan Teresa boleh menghasilkan empat atau lima lukisan/catan bersaiz A4, manakala penanda buku pula kira-kira 30 keping, bergantung kepada tempahan.
Jelasnya penanda buku yang berwarna dijual dengan harga RM4 sekeping dan RM3 untuk yang hitam putih.
Sementara itu, lukisan bersaiz A4 atas kertas dijual dengan harga RM75 hingga RM85, manakala saiz A4 atas kulit kayu harganya mencecah RM85 hingga RM150.
“ Selain dijual selebihnya saya simpan sebagai koleksi peribadi,” jelasnya yang menggunakan nama Nawie Rowland untuk menandatangani hasil karya seninya.
Beliau juga mempunyai akaun Instragram atas nama Artessa Craft iaitu untuk digunakan memuatnaik gambar karya seni dan hasil kraf tangan lain seperti anting-anting manik dan beg rotan Penan.
Bagaimanapun kata Teresa, beliau hanya menghasilkan anting-anting manik dalam jumlah yang kecil kerana mahu memberi fokus kepada lukisan.
Selain itu beliau juga menjual beg rotan yang dibuat oleh kaum Penan dengan harga yang berpatutan mengikut kualiti beg.
Oleh JIKU JUGUONG