
MARUDI: Penanaman pokok merupakan antara usaha penting dalam menangani perubahan iklim, termasuk cuaca panas melampau, kata Pengurus Kanan Unit Perhubungan dan Penglibatan Komuniti SaraCarbon Sdn Bhd Marudi, Baru Tai.
Beliau berkata, setiap pokok yang ditanam melambangkan komitmen bersama untuk masa hadapan yang lebih hijau dan sihat.
“Ia bukan sekadar memperindah persekitaran, tetapi juga menanam benih harapan untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Stapang Marudi, Jok Epoi, menjelaskan bahawa program penanaman pokok seperti ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid dan ibu bapa terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

“Aktiviti seperti ini memberi sumbangan langsung terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pembentukan nilai murni dalam kalangan murid,” ujarnya semasa program ‘Plant a Tree, Plant a Hope’ yang diadakan di sekolah berkenaan.
Sebanyak 34 pokok pelbagai jenis telah ditanam dalam program tersebut termasuk pokok tapang, belian, pelai serta beberapa jenis pokok buah-buahan tempatan.
Oleh Jiku Juguong