
HOUBI, Taiwan: Sejak bermulanya perang perdagangan global oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, penanam orkid Taiwan, Lee Tsang-yu, telah menyaksikan tarif ke atas anak benihnya meningkat daripada sifar kepada 20 peratus.
Namun, selepas melalui pelbagai krisis ekonomi, petani berpengalaman berusia 61 tahun itu tetap bertegas untuk terus bertahan.
Lee kini giat meneroka pasaran baharu di Thailand serta mengembangkan operasi di Vietnam, Indonesia dan Brazil, sambil mengurangkan penghantaran ke Amerika Syarikat.
“AS adalah pasaran yang sangat besar, kami tak boleh tarik diri, dan kami takkan berbuat demikian,” kata Lee, yang syarikatnya, Charming Agriculture, mengendalikan empat rumah hijau sebesar padang ragbi di Houbi, sebuah daerah di bandar Tainan, selatan Taiwan.

Lebih 300 penanam orkid di Taiwan merupakan antara pengeluar terbesar di dunia bagi tumbuhan berdaun tebal itu, orkid Phalaenopsis atau lebih dikenali sebagai orkid rama-rama mendominasi pasaran eksport.
Pada 2024, nilai eksport orkid dari pulau tersebut mencecah NT$6.1 bilion (AS$204 juta), dengan sekitar NT$2 bilion daripadanya dihantar ke Amerika Syarikat — pasaran utama Taiwan, menurut data rasmi.
Setakat ini, kebanyakan penanam menyerap sendiri kos tarif 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas hampir semua rakan dagang sejak April lalu, kata Ahby Tseng, 53, Setiausaha Agung Persatuan Penanam Orkid Taiwan.

Namun, katanya, tiada siapa mampu menanggung beban tarif sementara sebanyak 20 peratus yang diumumkan Trump ke atas Taiwan minggu lalu.
Tseng menjelaskan bahawa pesaing utama Taiwan di pasaran Amerika Syarikat ialah Belanda, yang hanya dikenakan tarif sekitar 15 peratus — satu perbezaan lima mata peratusan yang dianggap cukup besar.
“Agak sukar untuk serta-merta memindahkan kos tambahan ini kepada pengguna, kerana mereka boleh memilih untuk tidak membeli, atau beralih kepada jenis bunga lain,” katanya.

Menyimpan stok orkid di dalam gudang juga bukan satu pilihan memandangkan tumbuhan itu “terus membesar”.
Walaupun tarif yang lebih tinggi akan menjejaskan keuntungan syarikatnya, Lee berkata beliau lebih bimbang dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat secara keseluruhan sejak Trump mengambil alih jawatan.
“Semuanya menjadi lebih mahal di AS, dan perbelanjaan pengguna semakin mengecil — itulah yang merisaukan saya,” katanya.
“Sejak hujung Mei, kami sudah mengurangkan penghantaran sebanyak 15 peratus. Sebelum itu, AS menyumbang 45 peratus daripada eksport kami.”

Lee berkata beliau optimis bahawa usahanya untuk mengembangkan pasaran ke negara lain — walaupun perlahan dan tidak selalu menguntungkan — akan “secara beransur-ansur mengimbangi kesan ini”.
Tambahnya lagi, orkid Taiwan mempunyai kelebihan daya saing — bunganya mampu bertahan lebih lama berbanding tanaman dari Belanda.
Dan, katanya dengan yakin, “Trump bukan akan jadi presiden selama-lamanya.” – AFP