KUALA LUMPUR: Penambahbaikan berterusan sedang dilaksanakan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak khususnya dari segi peningkatan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada, kata Kementerian Kerja Raya.
Menurut kementerian itu, inisiatif berkenaan adalah perlu bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan projek lebuh raya itu sebagai pemangkin pembangunan sektor sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek itu.
“Sehingga Jun 2020, status kemajuan terkini adalah 49 peratus bagi fasa satu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) di Dewan Rakyat semalam mengenai status pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengendalikan keseluruhan projek ini.
Kementerian Kerja Raya berkata, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak kini sedang dilaksanakan secara konvensional dengan kerjasama JKR Sarawak susulan penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek.
Sementara itu, bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) mengenai status keseluruhan projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE), kementerian itu berkata status kemajuan keseluruhan Lebuh Raya WCE berakhir 15 Jun 2020 adalah 66.28 peratus.
Kementerian Kerja Raya berkata, Lebuh Raya WCE telah dibuka kepada pengguna secara berperingkat sejak 2019 dengan pembukaan pertama pada 31 Mei 2019 bagi jajaran dari Persimpangan Bertingkat Hutan Melintang ke Persimpangan Bertingkat Teluk Intan.
Pembukaan kedua adalah pada 23 September 2019 yang melibatkan dua seksyen lebuh raya iaitu jajaran dari Persimpangan Bertingkat Kampung Lekir ke Persimpangan Bertingkat Changkat Cermin dan jajaran bermula dari Persimpangan Bertingkat Changkat Cermin ke Persimpangan Bertingkat Beruas.
Pembukaan ketiga adalah pada 10 Disember 2019 bagi jajaran dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja (Selatan) ke Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja (Utara).
Menurut kementerian, pembukaan jajaran seterusnya iaitu Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Taiping-Banting) (WCE) dijangka pada akhir 2021, manakala jajaran terakhir Persimpangan Bertingkat Assam Jawa ke Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang dijangka dibuka pada pertengahan Jun 2024.- Bernama