
SRI AMAN: Penambahan sebanyak 17 kerusi baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan langkah strategik ke arah mempercepat pembangunan luar bandar serta memastikan perkhidmatan lebih berkesan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata langkah ini bukan sahaja sejajar dengan pertambahan penduduk tetapi juga bertujuan melancarkan agihan peruntukan dan pembangunan yang lebih seimbang di kawasan pedalaman.
“Sebelum ini, persempadanan kawasan DUN dinilai semula setiap lapan tahun. Namun, kali ini kita melihat ia dilaksanakan selepas 11 tahun.
“Ini adalah urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengambil kira jumlah pengundi serta keperluan kawasan,” katanya semasa berucap di Majlis Randau atau Begunan di Rumah Tina, Tembawai Pampan Jumbit, Melugu Skim, hari ini.
Mong turut menggesa penduduk yang masih belum mendaftar sebagai pemilih di kawasan Bukit Begunan agar berbuat demikian dengan segera.
“Amat rugi jika tidak mendaftar di kawasan sendiri kerana ia boleh menjejaskan peluang untuk menikmati pembangunan dan peruntukan yang disalurkan,” jelas beliau.
Setakat ini, kawasan Bukit Begunan mempunyai sekitar 14,000 orang pengundi berdaftar, dan angka ini dijangka meningkat sejajar dengan usaha penambahbaikan sistem pengundian dan kesedaran rakyat.
Mengulas mengenai keberkesanan pentadbiran negeri, beliau menyatakan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kukuh dan telus telah membawa impak besar kepada kemajuan rakyat tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Beliau juga mengingatkan penerima bantuan kebajikan agar memastikan maklumat peribadi dalam sistem sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan kesilapan yang boleh membawa kepada pemotongan bantuan bulanan.
“Ada kes di mana maklumat ahli keluarga yang telah meninggal dunia tidak dikemas kini. Akibatnya, waris terpaksa membayar semula wang bantuan yang diterima,” ujarnya.

Bagi perkembangan lain, beliau turut menekankan kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar menghantar laporan minit mesyuarat mereka ke Pejabat Daerah masing-masing sebelum penghujung November 2025 sebagai persediaan menyeluruh untuk proses perlantikan semula.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu bebas bergerak dalam sistem demokrasi, rakyat disarankan agar menilai keutuhan calon atau pemimpin yang mereka sokong dan percaya bahawa kerajaan GPS adalah pilihan terbaik demi masa depan Sarawak.
Mengulas mengenai perancangan pembangunan negeri, beliau memaklumkan bahawa kita kini berada di penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan projek-projek yang belum sempat dilaksanakan akan dibawa ke RMK-13 bermula 2026.
Sebagai komitmen terhadap pembangunan komuniti setempat, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM7,000 kepada 26 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM3,000 kepada Biro Wanita.
Bagi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih rumah termasuk penukaran atap di kawasan terbabit.
Oleh Adi Safarman