
LIMBANG: Keutamaan rakyat Sarawak menjadi keutamaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) dalam penambahan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata keperluan tambahan kerusi dibuat berdasarkan jumlah penduduk, sejajar keluasan dan demografi di negeri ini.
Jelasnya, kerajaan GPS adalah kerajaan yang inklusif tanpa meminggirkan kepelbagaian kaum dan keperluan pentadbiran serta representasi kumpulan etnik.
“Kerajaan memutuskan bahawa kita telah menambahkan lagi kerusi DUN sebanyak 17 menjadikan jumlahnya kepada 99 kerusi.
“Saya tidak pasti atau pun belum dimaklumkan sama ada kawasan ini terlibat atau tidak. Ini terpulang kepada pemimpin tertinggi untuk menetapkan di mana kerusi DUN baharu yang akan ditandingkan.
“Harapan saya, PDP dapat memberi kerjasama yang penuh kepada mana-mana calon yang akan dipilih memimpin kawasan ini,”katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Semena Medamit di Rumah Tip Semena pada hari ini.
Jelasnya, dengan adanya cawangan PDP baru di kawasan Medamit itu ia menguatkan dan memperkasakan lagi jentera GPS khususnya parti itu di peringkat akar umbi.
Beliau juga mahu parti tersebut terus memberi kerjasama penuh kepada mana-mana calon yang diumum pemimpin tertinggi GPS di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Katanya, kerajaan GPS adalah kerajaan yang banyak membawa perubahan dan mengutamakan keperluan rakyat melalui pelbagai bantuan dan program pembangunan menyeluruh sehingga rakyat kini menikmati pelbagai pembangunan.
Beliau berkata pelbagai projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air bersih dan elektrik luar bandar juga telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
Malah katanya, keadaan sosioekonomi di Sarawak dijangka terus bertambah baik seiring dengan pertumbuhan pendapatan negeri dan perkembangan ekonomi semasa.
Oleh Adeng Edrus