MANCHESTER: Peminat bola sepak mengejek Cristiano Ronaldo selepas bintang Manchester United itu gagal menyempurnakan sepakan penalti di babak pertama aksi pusingan keempat Piala FA menentang Middlesbrough di Old Trafford.
Ronaldo, 36, berpeluang membuka jaringan selepas Paul Pogba dijatuhkan oleh pertahanan Boro Anfernee Dijksteel, bagaimanapun sepakan pemain Portugal itu tersasar ke sebelah kiri.
“Penaldo sudah berakhir,” tulis salah seorang peminat di Twitter. “Penaldo terlepas makanan kegemarannya,” kata seorang peminat lagi.
“Tidak ada sesiapa patut terlepas sasaran dari jarak 12 ela. Patut dipotong gaji jika seorang profesional melakukannya,” kata peminat lain.
“Tidak mampu melakukan satu-satunya perkara yang masih menjadikannya relevan. Mari kita semua ketawakan Ronaldo,” kata seorang peminat diikuti deretan emoji ketawa.
Sementara itu seorang YouTuber Manchester United, Mark Goldbridge malu sendiri apabila dia menjerit “Siuu” ketika bersiaran tetapi disusuli dengan sepakan tersasar Ronaldo.
Legenda Manchester United Roy Keane berkata: “Jelas sekali kejutan paling besar adalah Ronaldo. Bolehkah kita mengkritiknya? Sudah tentu boleh. Dia sepatutnya menemui sasaran.
“Perkara yang paling kita tidak jangka ialah dia terlepas sasaran. Saya rasa dia cuba melakukannya dengan teliti. Terutama selepas penjaga gol bermula dengan gemuruh, anda hanya perlu mencari sasaran. Ia kejutan besar.”
Jadon Sancho menebus kekecewaan dengan meletakkan United di depan tetapi Boro kembali menyamakan kedudukan menerusi Matt Crooks.
Marcus Rashford turut menemui sasaran tetapi jaringannya dibatalkan selepas kerana offside – AGENSI