KUCHING: Sasaran untuk memvaksinasikan sepenuhnya golongan remaja sebelum pembukaan semula sekolah pada 3 Oktober ini sangat memuaskan.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, setakat 15 September (Rabu) terdapat 61,271 atau 63.6 peratus daripada 96,400 remaja berumur 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama.
Dari kalangan remaja berumur 12 hingga 15 tahun dengan komorbiditi pula seramai 3,981 iaitu 2.1 peratus daripada jumlah 192,800 juga telah menerima dos pertama mereka.
“Kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran. Jadi mereka akan selamat dari segi vaksinasi ketika mereka kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majma, semalam.
Golongan remaja berumur 12 hingga 15 tahun tanpa masalah kesihatan dijangka akan diberi vaksin sepenuhnya pada akhir Oktober ini, tambahnya.
Sehingga kini, 234 sekolah di Sarawak telah terlibat dalam program vaksinasi remaja, termasuk sekolah swasta, sekolah agama, dan Maktab Rendah Sains Mara, sambil menambah sasaran Sarawak adalah agar vaksinasi sepenuhnya keseluruhan penduduk, termasuk remaja, tercapai pada akhir tahun ini.
Mengenai angka harian Covid-19 di Sarawak melebihi paras 3,000 beliau memaklumkan bahawa angka tersebut adalah daripada kes tunggakan.
“Seperti yang anda ketahui, kadar kemasukan ke hospital adalah rendah dan kebanyakan kes berada di Kategori 1 (tanpa gejala) dan Kategori 2 (bergejala ringan).
Sehubungan itu, keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk memberi kelonggaran bagi mereka yang sudah mempunyai dua dos lengkap ke negeri ini adalah langkah ke arah persiapan menghadapi fasa endemik.
“Sama ada endemic ini boleh diisytihar terpulang kepada mereka (Majlis Keselamatan Negara) kerana mereka harus melihat situasi seluruh negara,” tambahnya.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku pengerusi JPBN dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian selaku penasihat JPBN.
Oleh JEAKQLEYN YACHO