KUCHING: Persiapan sekolah untuk menyambut kehadiran pelajar yang kembali ke sekolah di Sarawak khususnya di Kuching agak memberansangkan.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dua buah sekolah yang dilawat beliau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Thomas dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuching (SKPK) menunjukkan peratusan kehadiran yang agak tinggi bagi hari pertama pembukaan sekolah, semalam.
“SMK St. Thomas mencatatkan 86.2 peratus daripada 111 orang pelajar kehadiran pelajar tingkatan enam.
“Manakala, SKPK mencatatkan 69 peratus kehadiran di mana seramai 89 orang peljar, seramai 68 orang yang hadir pada hari ini (semalam).
“Peratus kehadiran ini menunjukkan bahawa para pelajar bersedia untuk hadir ke sekolah dan rata-rata pelajar yang tidak hadir ke sekolah adalah mereka yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19, masih dalam kuarantin serta direhatkan sementara waktu di rumah,” katanya.
Sementara itu, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh pihak sekolah.
“Daripada segi persiapan yang dilakukan oleh pihak sekolah, Alhamdullilah saya amat berpuas hati kerana semua sekolah yang dilawat telah menyediakan semua perkara dan keperluan mengikut garis panduan (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Justeru, saya menyeru ibu bapa untuk tidak khuatir menghantar anak-anak ke sekolah kerana keselamatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan kami dan pihak sekolah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Alamin mendedahkan dua buah sekolah di Lawas diarahkan untuk ditutup buat sementara waktu berikutan kes positif yang melibatkan guru di dua buah sekolah tersebut.
“Dua buah sekolah tersebut ialah SMK Trusan dan SMK Merapok dan pihak KPM telah mengambil langkah keselamatan yang tegas bersama dengan KPM untuk menutup sekolah tersebut sehingga 6 Oktober ini.
“Kes positif yang dicatatkan di dua buah sekolah ini merupakan kes yang terpencil kerana dari semua sekolah di Sarawak, hanya dua buah sekolah ini yang mempunyai kes positif setakat ini.
“Pihak KKM dan Jabatan Pendidikan daerah Lawas akan terus memantau kedua-dua buah sekolah ini dan kita berharap ia tidak akan berlanjutan agar ia dapat dibuka dan beroperasi semula,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada sidang media semasa melakukan lawatan kerja ke SKPK di bilik pemulihan SKPK Kuching, di sini, semalam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA