
SIBU: Sayap Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan berhubung hak petroleum negeri ini.
Ketua Pemuda PRS, Christopher Gira Sambang berkata, pendirian yang disuarakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mencerminkan ketegasan berprinsip serta berlandaskan Perlembagaan dan fakta sejarah.
Menurut beliau, langkah berkenaan bukan bersifat konfrontasi, sebaliknya merupakan usaha mendapatkan kepastian undang-undang demi mempertahankan hak Sarawak seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“MA63 adalah asas pembentukan Malaysia. Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia sebagai rakan pengasas, bukannya negeri bawahan.
“Hak terhadap sumber asli dalam sempadan wilayah yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia bukanlah pemberian ihsan, tetapi hak yang wujud dan dilindungi dalam kerangka Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, Pemuda PRS berdiri teguh bersama kepimpinan negeri dalam memastikan hak berkenaan dihormati sepenuhnya melalui saluran Mahkamah Persekutuan serta mekanisme Perlembagaan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, generasi muda di Sarawak dan Sabah kini semakin celik sejarah serta memahami kepentingan MA63 bukan sekadar sebagai simbol politik, tetapi sebagai perjanjian pembentukan negara yang mempunyai nilai perundangan dan moral yang tinggi.
Tambahnya, sekiranya hak-hak yang dipersetujui di bawah MA63 tidak dilaksanakan sepenuhnya atau ditafsir secara sempit sehingga menjejaskan semangat asal 1963, maka adalah wajar semua saluran perundangan yang sah dipertimbangkan demi menjaga integriti perjanjian tersebut.
“Namun keutamaan kami tetap jelas iaitu penyelesaian melalui Mahkamah Persekutuan. Inilah pendekatan matang dan bertanggungjawab selaras dengan semangat Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin.
Beliau turut menegaskan bahawa solidariti Borneo bukan sekadar slogan politik, sebaliknya mencerminkan kesedaran bahawa Sarawak dan Sabah adalah rakan pengasas Malaysia yang haknya perlu dihormati secara adil dan seimbang.
“Sarawak kuat dalam Malaysia, dan Malaysia akan lebih kukuh apabila MA63 dihormati sepenuhnya,” katanya.
Oleh Tarani Lanting