Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pemuda PRS gesa PDA 1974 dibahas di DUN Sarawak demi kejelasan tadbir urus minyak, gas
  • SEMASA

Pemuda PRS gesa PDA 1974 dibahas di DUN Sarawak demi kejelasan tadbir urus minyak, gas

Utusan Sarawak 5 hours ago
KETUA Pemuda PRS, Christopher Gira Sambang.

SIBU: Sayap Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menggesa supaya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dibahaskan secara rasmi dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang bagi memperjelaskan autoriti kawal selia industri minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Pemuda PRS, Christopher Gira Sambang berkata, langkah tersebut penting bagi memperkukuh kejelasan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, khususnya dalam pengurusan serta pentadbiran sektor petroleum.

Menurutnya, Sarawak telah sekian lama mentadbir aktiviti petroleum huluan melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958), manakala PDA 1974 pula dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Cadangan ini bukan bertujuan mencetuskan pertindihan atau konflik kawal selia, sebaliknya bagi memastikan kepastian dan ketelusan kepada semua pengendali industri minyak dan gas, termasuk pelabur antarabangsa, berhubung pihak berkuasa sah yang perlu dirujuk ketika beroperasi di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau menjelaskan bahawa kejelasan rangka kerja kawal selia amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur, melancarkan pembiayaan projek serta menjamin kestabilan operasi jangka panjang, khususnya bagi projek huluan dan pertengahan yang melibatkan kos modal yang tinggi.

Gira turut berpandangan bahawa perbahasan secara berstruktur di DUN Sarawak berupaya mengurangkan pertindihan bidang kuasa, ketidakpastian peraturan serta kelewatan pentadbiran, sekali gus mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih stabil dan boleh diramal.

Tambahnya, cadangan tersebut selari dengan pendirian Sarawak dalam mempertahankan hak negeri ke atas sumber asli yang berpunca daripada tanah dan perairan wilayahnya, sejajar dengan kerangka Persekutuan Malaysia serta prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi Sarawak, kejelasan tadbir urus adalah kunci untuk memastikan hasil ekonomi daripada sektor minyak dan gas dapat dimanfaatkan secara optimum bagi pembangunan mampan, penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, pemindahan teknologi serta pembentukan nilai jangka panjang,” katanya.

Sebagai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau menegaskan komitmen Pemuda PRS untuk menyokong rangka kerja tadbir urus tenaga yang stabil dan berasaskan peraturan, demi memposisikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan tenaga yang berdaya saing di peringkat nasional dan serantau.

Oleh Tarani Lanting

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kapal ‘Pilgrim’ lambang persahabatan Rusia-Sarawak, Jaziri cadang bina replika di Sarawak
Next: Sarawak terajui reformasi perundangan, perkukuh tadbir urus negeri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.