
LAWAS: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas telah melaksanakan Program Imarah Ramadan Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama komuniti di Surau Kampung Lakutan, semalam.
Ketua Pemuda PBB Bukit Sari, Durahman Salleh berkata program berkenaan bertujuan mengimarahkan surau sepanjang Ramadan selain mengeratkan silaturahim antara Pemuda PBB dan masyarakat setempat.

“Antara pengisian program ialah majlis berbuka puasa bersama, solat Maghrib berjemaah, tazkirah Ramadan, serta solat Isyak dan Tarawih berjemaah.
“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk Kampung Lakutan dan berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan ukhuwah serta menghidupkan institusi surau sebagai pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Oleh Adeng Edrus