
LAWAS: Program Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas yang telah diadakan di Surau Kampung Gelapas semalam.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari Durahman Salleh memberitahu program ini berjaya menghimpunkan ahli pemuda dan masyarakat setempat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

“Selain berbuka puasa dan solat berjemaah, turut diadakan tazkirah Ramadan oleh Ustaz Mohd Khairul Nizam sebagai pengisian rohani kepada para jemaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari akan meneruskan program ini ke beberapa ranting di seluruh kawasan Dewan Undangan Bukit Sari untuk menyantuni masyarakat dan pemuda dalam usaha mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan lagi usaha mengimarahkan surau dalam kalangan komuniti.
Ini sejajar dengan saranan Ketua Cawangan PBB Cawangan Bukit Sari yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan agar semua jentera PBB terus menjadi teman masyarakat sepanjang masa.

Usaha ini memberi peluang untuk exco Pemuda di cawangan memahami berbagai isu di setiap ranting yang mempunyai isu berbeza untuk diketengahkan kepada pihak kerajaan.
Malahan ruang ini diguna untuk menyampaikan pelbagai maklumat berhubung segala dasar dan perancangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan ummah dan Daerah Lawas.
Oleh Adeng Edrus