
SIBU: Seorang pemuda yang mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah serta mencuri sebuah kipas angin jenama Panasonic dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Jeniri Medang, 29, yang berasal dari Nanga Tau, Kapit membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Romario Jonoi, diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah di Jalan Ling Chu Ming, Bukit Besai pada 22 Januari 2025, jam lebih kurang 2.00 petang dengan niat hendak mencuri harta benda iaitu sebuah kipas angin berdiri jenama Panasonic.
Sehubungan itu, Jeniri telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan juga denda dan sekiranya kesalahan itu dilakukan dengan niat mencuri, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun.
Mengikut fakta kes, pada 22 Januari 2025, jam lebih kurang 6.30 petang, pengadu tiba di rumah abangnya di Jalan Ling Chu Ming, Bukit Besai dan mendapati jeriji besi serta pintu depan rumah terbuka.
Setelah diperiksa, pengadu mendapati pelbagai barang dalam rumah tersebut telah hilang, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM6,600, sebelum membuat laporan polis.
Pada 21 Mac 2025, pengadu sekali lagi membuat laporan polis berhubung kehilangan satu kipas angin jenama Panasonic milik abangnya.
Pada 20 Mac 2025, sekitar 10.00 pagi, bertempat di tangga sebuah hotel di Jalan Mission, pihak polis telah membuat rampasan barangan kes berkaitan laporan polis yang dibuat oleh pengadu.
Hasil siasatan di tempat kejadian, pihak polis telah menemui dua kesan cap jari dari sebuah televisyen yang hendak dicuri dari ruang tamu rumah abang pengadu. Analisis cap jari tersebut kemudian mengesahkan ia adalah milik tertuduh.
Oleh Akun Giman