SIBU: Seorang pemuda menjalani hukuman penjara tiga bulan setelah gagal membayar hukuman denda bagi kesalahan membantu menghapuskan harta curi berupa satu karung guni yang mengandungi wayar tembaga.
Terdahulu, Ron Matahari,26, dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara tiga bulan oleh Majistret Oon Kork Chern setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan, Ron didakwa atas pertuduhan membantu melupuskan harta curi iaitu satu karung guni mengandungi wayar tembaga di sebuah premis di Jalan Siol pada 8 Disember 2024, sekitar 1.00 petang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pengadu mendapati wayar tembaga yang disimpan dalam karung guni di kediamannya di Jalan Oya Lama telah hilang pada 8 Disember 2024, kira-kira 3.45 petang.
Setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu mendapati seorang bekas pekerjanya telah masuk ke kediaman dengan memanjat pagar dan mencuri karung guni yang mengandungi wayar tembaga tersebut.
Pada 11 Disember 2024, lebih kurang 12.00 tengah hari, pihak polis telah menahan seorang suspek iaitu tertuduh di rumah kedai Lorong Bougenvilla Barat bagi membantu siasatan.
Dengan dipandu arah oleh tertuduh, pihak polis telah pergi ke sebuah premis di Jalan Siol off Jalan Salim tempat tertuduh menjual karungan guni yang mengandungi wayar tembaga tersebut.
Siasatan mendapati pada 6 Disember 2024, sekitar 1.47 petang, tertuduh telah memandu sebuah kereta ke tempat kejadian bersama dengan seorang suspek utama yang masih bebas.
Tertuduh menunggu di luar di dalam kereta sementara suspek utama memanjat masuk ke dalam kediaman pengadu untuk mencuri. Tertuduh kemudian membantu melupuskan harta curi terbabit dengan menjualnya di sebuah premis membeli barangan lusuh.
Resit jualan yang bertarikh 8 Disember 2024 juga tertera nama tertuduh serta nombor kad pengenalannya. Tertuduh mengaku telah menerima bayaran RM20 hasil jualan barangan curi tersebut.
Oleh Akun Giman